SKUAD bola sepak wanita Sabah kini hanya satu mata dipisahkan dari menjadi juara sulung Liga Wanita Nasional (LWN) 2023 apabila bakal berhadapan cabaran pasukan Malaysian University di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu.

Namun begitu ada berita kurang manis berlaku apabila pencabar terdekat, Kelana United sudah hampir pasti memperolehi kemenangan percuma kerana lawan mereka, LMS Tigress boleh dikatakan sudah menarik diri dari kejohanan apabila gagal hadir dalam dua perlawanan sebelum ini.

Sabah mendahului carta liga dengan 18 mata manakala Kelana United di tangga kedua dengan 16 mata dan kemenangan percuma yang dijangka diberikan akan menyaksikan Kelana United bakal mengumpul 19 mata dan Sabah memerlukan satu mata untuk muncul juara kerana mempunyai kelebihan jaringan.

Justin Ganai (kiri)

Pengendali Sabah, Justin Ganai bagaimana pun tidak mahu memikirkan tentang kemenangan percuma pihak lawan itu sebaliknya hanya fokus kepada diri mereka sendiri dalam usaha mendapatkan tiga mata sekaligus bergelar juara.

“Perlawanan terakhir lawan Malaysian University adalah perlawanan akhir bagi Sabah, jika menang kejuaraan milik kami. Keputusan seri membolehkan Sabah mengutip 19 dengan perbezaan 16 gol ketika ini sudah memadai untuk Sabah menjulang piala kejuaraan.

“Sudah tentu Kelana United akan mendapat kemenangan percuma dengan LMS Tigress yang sudah menarik diri dan mereka akan mengumpul 19 mata dan kelebihan tiga gol namun ianya tidak menjadi persoalan kerana yang penting, kami fokus sepanjang perlawanan agar sasaran untuk menjadi juara LWN 2023 tercapai,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Selepas berakhir sembilan perlawanan, Sabah mencatat lima kemenangan, tiga seri dan hanya tewas sekali dengan menjaringkan 19 gol dan hanya bolos tiga kali, sekaligus menjadikan mereka pilihan untuk muncul juara LWN musim ini.

Selain mahu mencari peluang muncul juara pertama LWN, dua penyerang Sabah juga berpeluang meraih anugerah penjaring terbanyak dengan Azzlyeanieh Kinuli dan Usliza Usman kini masing-masing berjaya menjaringkan empat gol.