PENDATANG baharu Liga Wanita Nasional (LWN) 2024, Red Eagles SC (RESC) akan menggunakan tenaga pemain muda untuk menghadapi saingan liga profesional wanita Malaysia.

Menurut ketua jurulatih Red Eagles SC, Mohd Firdaus Azid berkata 80 peratus daripada pemain dalam pasukan itu merupakan pemain yang digilap daripada akademi RESC itu sendiri.

Beliau turut menambah bahawa pasukan itu telah melakukan segala persiapan dan kini berada dalam fasa terakhir sebelum menghadapi saingan liga yang akan bermula pada 6 Julai nanti.

Ketua Jurulatih Red Eagles SC, Mohd Firdaus Azid

“Kami telah melakukan persiapan bermula April lagi, dimana kami akan mengadakan latihan pasukan pada setiap hujung minggu serta mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan.

“Antara cabaran utama ialah membentuk pemain yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi memandangkan majoriti pemain kami ialah pemain muda yang boleh dikatakan pertama kali beraksi dalam kejohanan utama seperti ini.

“Walau bagaimanapun dengan pendedahan dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan dari luar Kedah sebelum ini telah memberi pengalaman yang berguna sebagai persiapan menghadapi LWN 2024,” katanya kepada FLASH SUKAN.

RESC menampilkan 80 peratus pemain muda untuk saingan LWN 2024, yang digilap daripada Akademi RESC sendiri

Beliau juga mengakui bahawa pasukannya mempunyai kekurangan terutamanya dibarisi dengan pemain-pemain muda jika dibandingkan dengan pasukan lain namun mensasarkan pasukan itu untuk berada dalam kelompok lima terbaik bagi LWN2024.

Saingan akan membuka tirai pada 6 Julai, dengan edisi kedua ini akan menampilkan lapan pasukan iaitu juara bertahan Sabah FA, Melaka FA, Red Eagles SC dari Kedah, Real CJ FC dari Pulau Pinang, Selangor FA, Kelana United FC, Malaysian University dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).