PENGENDALI skuad wanita Sabah, Justin Ganai mengakui dia gembira dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya apabila meraih kemenangan 5-0 keatas LMS Tigress dalam aksi Liga Wanita Nasional (LWN) di Stadium MMU, Cyberjaya pada Ahad.
Kemenangan besar itu juga menyaksikan Sabah mengekalkan rekod bersih dalam LWN dengan dua kemenangan dan berjaya menjaringkan lapan gol tanpa bolos namun jurulatih berpengalaman itu merasakan masih terlalu awal buat Sabah untuk dilabel sebagai pasukan pilihan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pemain kerana bermain dengan baik dan bijak mengambil peluang meskipun kami tidak begitu banyak menyerang dalam perlawanan ini.
LIGA WANITA NASIONAL 2023
FT: LMS Tigress 0-5 Sabah
⚽ Azzlyeanieh Kinuli 19',33',39', Usliza Usman, Rocillyeka Lole 88'#LWN2023#ItsOurTime pic.twitter.com/qUcl2MHNgC
— Flash Sukan (@FlashSukan) August 20, 2023
“Sejujurnya saya tidak tahu kekuatan pasukan lain dalam liga ini tetapi kita nampak pemain Sabah bermain dengan baik dalam perlawanan ini dan mungkin berbeza pada perlawanan akan datang tetapi dua kemenangan ini cukup baik sebagai momentum di peringkat awal liga ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Justin juga berharap anak-anak buahnya dapat mengekalkan aksi yang konsisten untuk mengekalkan kelebihan yang ada dan dia juga berpuas hati melihat keserasian yang ditunjukkan pemainnya yang dibarisi pemain kebangsaan dan pemain muda.
“Saya harap pemain-pemain akan kekalkan konsistensi kerana ianya akan membantu kami kekalkan kemenangan dalam perlawanan akan datang.
“Gabungan pemain muda dan senior dapat berikan pengalaman kepada pemain muda dan apabila diturunkan mereka berusaha untuk berikan saingan kepada pemain senior dan pada saya ini perkara yang baik buat pasukan,” jelasnya.
Jurulatih berusia 67 tahun itu juga mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang percaya kepada pasukannya dan menyeru lebih ramai lagi penyokong hadir untuk memberikan sokongan kepada Liga Wanita Nasional ini.
“Terima kasih atas sokongan penyokong kerana kami kurang mendapat liputan daripada media dan kami akan lakukan yang terbaik buat Sabah dalam liga ini buat para penyokong,” tambahnya.
Hatrik daripada Azzlyeanieh Kinuli dan masing-masing satu dari Usliza Usman dan Rocillyeka Lole memastikan Sabah membawa pulang tiga mata sekaligus menguasai tangga teratas LWN walaupun kekurangan satu perlawanan.