NAMA Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi siulan dalam kalangan siber warga siber.

Dek bermula kegagalan pasukan Harimau Malaya tidak layak ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia, beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terus dihimpit isu reka bentuk baju Olimpik yang tidak menepati selera penyokong.

Tidak sampai 48 jam kemudian, beliau sekali lagi berdepan isu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengenakan denda kepada Selangor FC sekali gus mengundang rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menzahirkan rasa kurang senang baginda kepada hukuman yang dijatuhkan daripada MFL itu.

Walaupun Hamidin telah menunjukkan peningkatan dalam pelbagai aspek tugasannya, kehidupan beliau tidak pernah mudah kerana sentiasa berdepan dengan kritikan bertubi-tubi daripada peminat.

 

Sultan Selangor perkenan terima menghadap Hamidin

Sultan Selangor perkenan terima menghadap Hamidin selepas 7 Julai ini.

Cabaran-cabaran ini menggambarkan betapa sukarnya peranan yang dimainkan oleh Hamidin dalam arena sukan negara, di mana beliau perlu mengimbangi harapan tinggi peminat dan tanggungjawab besar yang dipikul.

Persoalan sekarang bagaimana Hamidin dapat menangani situasi-situasi ini ketika berdepan khalayak awam mahpun warga siber dalam masa yang sama sahabat terdekat serta ahli keluarganya masih kuat meniup semangat beliau untuk meneruskan perjuangan dalam industri sukan negara.

Jika dilihat Hamidin seakan-akan ‘diserang’ kiri dan kanan, depan dan belakang tetapi sehingga kini, penulis tidak melihat beliau sesekali patah semangat dengan setiap dugaan yang dihadapinya.

Memang benar bahawa masing-masing memiliki kebebasan untuk bersuara tetapi secara peribadi penulis menganggap setiap polemik yang menimpa Hamidin ini bagaikan ‘orang lain makan nangka, orang lain terkena getahnya’.

Hamidin, walaupun sering dikritik dan berdepan dengan isu-isu besar yang berada di luar kawalannya, tetap menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan tidak menuding jari kepada orang lain.

TMJ semakin serius tunjuk minat bantu pasukan kebangsaan

TMJ dan Hamidin pernah bekerjasama ketika bersama FAM.

Sayugianya kita harus maklum bahawa Hamidin bukan setahun dua dalam industri bola sepak di mana beliau pernah bekerja di bawah Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika bersama FAM.

Justeru tak pelik sebenarnya melihat anak jati dari Gombak, Selangor ini sebelum ini telah melakar sejarah tersendiri menjadi individu pertama dari kalangan orang biasa untuk menerajui pucuk kepimpinan FAM sentiasa menjadi sasaran untuk dikritik atau dikecam.

Malah, sebelum dipilih sebagai Presiden FAM pada tahun 2018, Hamidin pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1994 di bawah pentadbiran Sultan Sharafuddin.

Siapa mengenali Hamidin sudah pasti tahu cara kerjanya.

“Sebagai seorang pemimpin, beliau menghadapi pelbagai cabaran, tetapi cabaran yang dilalui oleh Datuk Hamidin ini benar-benar berbeza. Namun, beliau tetap cekal dan tabah dengan sokongan daripada kawan-kawan dan sahabat-sahabat sejati serta keluarganya.

“Hamidin telah membuat kemajuan besar dalam pembangunan bola sepak, dan tidak adil untuk mempersoalkan dedikasinya. Hamidin telah melalui minggu yang sukar, walaupun isu-isu tersebut berada di luar bidang kuasa Hamidin, beliau tidak menuding jari kepada orang lain.

“Ini menyerlahkan sikap bertanggungjawab beliau,” kata sumber rapat Hamidin.

Hamidin – sosok yang berminat bekerja di belakang tabir, tidak gemar mencuri publisiti dan hanya mahu kekal konsisten berusaha keras dalam memastikan pasukan kebangsaan negara berada di mercu yang lebih baik.

Berkenaan isu yang berlaku, penulis percaya bahawa Hamidin sudah pasti ada caranya untuk menyelesaikan setiap permasalahan ini.

Mungkin ramai melihat Hamidin tampak mudah serta santai mengendalikan persatuan besar seperti FAM tetapi realitinya hanya jauhari mengenal manikam.

Suka atau tidak, kita harus akui bahawa bukan semua keputusan yang dilakukan beliau dapat menyenangkan hati semua pihak tetapi penulis optimis bahawa Hamidin telah membuat keputusan berdasarkan situasi terbaik semasa.

Banyak liku-liku perjalanan beliau sebagai Presiden FAM khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang jelas menjadi detik paling sukar tetapi Hamidin dengan jayanya dapat menempuhi situasi itu dengan baik.

Begitu juga cabaran beliau untuk mendapatkan sentuhan Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang akhirnya menjadi misi serampang dua mata iaitu dapat melayakkan diri ke pentas Piala Asia 2024 dan peningkatan ranking Harimau Malaya ke tangga yang lebih baik.

Namun Hamidin sedar bahawa beliau bukanlah nirmala di mana beliau peka dengan kedudukan jawatannya adalah paling senang untuk dikritik oleh pelbagai pihak kerana bola sepak sentiasa ada cerita dan kekangan tertentu.

Apa yang pasti, Hamidin menyedari beliau bukan serba tahu sebaliknya beliau kekal komited terus belajar untuk menjadi pemimpin yang lebih baik.