PEMAIN sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menyatakan bahawa dirinya tidak merasakan sebarang tekanan walaupun satu beban untuk menggalas watak sebagai kapten pasukan.

Malah bagi Arif yang baru berusia 22 tahun, lilitan kapten yang dipakai semasa aksi separuh akhir pertama Piala FA Jumaat lalu dianggap sebagai satu penghargaan kepada dirinya yang merupakan antara tonggak utama dan ayam tambatan skuad Harimau Selatan.

Arif berjaya memikul tanggungjawab selaku kapten pasukan JDT pada aksi separuh akhir pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman (KDA) FC beberapa hari lalu di gelanggang Sang Kenari.

“Betul, ini merupakan peluang terbaik buat saya dan ia satu penghargaan menjadi kapten buat JDT.

Arif Aiman galas tanggungjawab sebagai kapten pasukan di Kedah Darul Aman. Foto: JDT

“Justeru saya tidak menganggap peranan sebagai kapten pasukan ini sebagai satu perkara membebankan, malah saya menyifatkan ia sebagai peluang berharga buat karier saya untuk masa akan datang,” ujar Arif Aiman.

Tidak dinafikan, skuad gergasi Merah Biru itu mempunyai beberapa kapten berkualiti seperti Jordi Amat dan Shahrul Saad yang turut tersenarai dalam kesebelasan utama pasukan, namun pengendali Hector Bidoglio meletakkan kepercayaan terhadap pemain muda itu.

Ketika perlawanan dilihat berkesudahan seri 1-1, muncul Romel Morales menjadi penyelamat dengan gol di lewat permainan.

Bagi Arif, semua pemain telah memberikan komitmen cukup baik dengan mentaliti tidak cepat mengalah untuk mendapat sedikit bekalan untuk dibawa ke aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 4 Ogos 2024.

“Perlawanan agak sukar buat kami, so tak mengapa, yang penting kami bermain dengan baik, mencipta peluang dengan baik tapi tak ada penyudah, kami akan perbaiki bagi perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, saya amat bangga dengan pemain semua dengan komitmen, walaupun kita seri kita dapat satu gol ‘last minute’, ini kemenangan agak baik untuk kita bawa ke Johor.

“Dalam bola sepak itu biasa berlaku, bila di minit akhir mereka dapat menyamakan kedudukan tetapi saya beri pujian kepada rakan sepasukan yang ‘fight’ untuk dapat gol pada minit akhir,” katanya.

Sebagai rekod, JDT mempunyai kelebihan satu gol yang akan dimanfaatkan pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di laman sendiri, setelah menewaskan KDA FC 2-1 pada saingan separuh akhir pertama.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim sebagai pasukan pelawat, untuk berdepan aksi sengit separuh akhir kedua Piala FA 2024 yang berlangsung pada 4 Ogos depan.