DARI jauh nampak kelibat seorang wanita separuh abad sedang membawa ‘buggy’ di perkarangan Stadium Al Janoub ketika aksi Malaysia bertemu Jordan pada Selasa.
Ketika dihampiri FLASH SUKAN untuk menumpang buggy ke pusat media, kami berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menerangkan tujuan sebenar kami.
Entah bagaimana, wanita disapa Lily atau nama asalnya, Beh Weng Ming, 50, bertanyakan kami ‘Apa Khabar’ lantas mengejutkan kami dan disambut ketawa kecil.
Rupa-rupanya, Lily adalah rakyat Malaysia yang telah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai sukarelawan sejak 2004 dalam pelbagai acara sukan terbesar dunia di Qatar.
“Saya memang dah lama menetap di Qatar. Pelbagai acara sukan besar saya terlibat, antaranya, Komiti Olimpik Qatar dan Persatuan Bola Sepak Qatar hampir dua dekad.
“Selain itu, acara sukan terbesar dunia kerap diadakan di Qatar termasuk temasya Sukan Asia Doha 2006, Kejohanan Olahraga Dunia, Piala Dunia 2022 dan terbaharu Piala Asia 2023 ketika ini,” kata Lily yang berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Menurutnya, kejohanan Piala Asia 2023 cukup istimewa buat dirinya kerana melihat penyertaan skuad Harimau Malaya yang tampil buat pertama kalinya bertanding di Piala Asia secara merit sejak berpuluh-puluh menunggu.
Katanya, tidak mudah untuk pasukan Malaysia berada dalam kelompok elit itu dan mengakui cukup berbangga melihat bendera Jalur Gemilang berkibar megah di negara Teluk itu.
“Walaupun mutu bola sepak Malaysia masih jauh berbanding pasukan hebat Asia yang lain namun kemunculan anak buah Kim Pan-gon selepas 43 tahun secara merit adalah titik permulaan kepada kebangkitan pasukan.
“Sudah tentu saya rasa bangga di mana saya sudah bekerja untuk AFC (sukarelawan Konfederasi Bolasepak Asia) dalam banyak pertandingan antarabangsa termasuk Piala Negara Arab, Piala Asia Bawah 23, Piala Kelab Dunia dan banyak lagi.
“Tapi ini adalah kali pertama saya melihat pasukan Malaysia hadir di pentas tertinggi Asia. Saya gembira dan saya rasa bertuah dapat bekerja di stadium yang mana pasukan Malaysia akan bersaing,” katanya.
Tambah Lily, kehadiran ramai penyokong skuad Harimau Malaya pada aksi pertama dengan Jordan di Stadium Al Janoub pada Selasa lalu membuatkan dirinya bagaikan berada di ‘kampung halaman’ yang jauh beribu batu.
“Terus terang saya katakan, saya sangat gembira melihat bola sepak Malaysia berjaya layak dan bermain di Piala Asia,” katanya.