KESATUAN Ragbi Selangor (KRS) bukan sekadar berwajah baharu, malah menampilkan pemimpin wanita sebagai presidennya buat kali pertama dalam sejarah 100 tahun penubuhan persatuan itu.
Pada pemilihan Sabtu lalu, KRS mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei sebagai presiden bagi tempoh tiga tahun.
Yi Wei, menang tanpa bertanding jawatan berkenaan bukan hanya dilantik disebabkan kedudukannya dalam arena politik tetapi pengalamannya sebagai bekas pemain ragbi di peringkat universiti.
“Saya menceburi sukan ini sejak zaman universiti (Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong), namun disebabkan kecederaan saya tidak menyambungnya. Berkenaan dengan KRS pula ia mula bertaut apabila skuad ragbi wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 datang berjumpa saya untuk memohon penajaan. Jadi hubungan itu terjalin sehinggalah sekarang.
“Mengenai hala tuju KRS pula tumpuan utama adalah untuk menyediakan pasukan mantap menjelang Piala Agong selepas sudah sekian lama Selangor tidak muncul juara, selain mempersiapkan Liga Ragbi Selangor. Tumpuan lain juga akan terarah kepada pembangunan ragbi akar umbi di negeri ini,” katanya yang beraksi di posisi sayap.
Menjelaskan misinya, Yi Wei berkata, KRS akan memperbanyak aktiviti pembangunan dan pendedahan di semua termasuk akar umbi serta di peringkat sekolah.
“Dengan adanya pelbagai program, kita mempunyai ramai pemain yang boleh diketengahkan,” katanya, yang menjadi presiden wanita pertama memimpin persatuan sukan ragbi di Malaysia.
Dalam pada itu, Yi Wei yang berusia 35 tahun berkata, beliau tidak masuk ke badan induk itu sebagai seorang ahli politik yang mahukan jawatan atau semata-mata untuk mencari glamor.
“Kehadiran saya sebagai seorang pencinta sukan ragbi dan kami akan berusaha yang terbaik memimpin KRS. Matlamat utama adalah mengembalikan Selangor sebagai kuasa besar ragbi dan fokus ketika ini melakukan persiapan membentuk pasukan terbaik untuk Piala Agong dan Sukma (Sukan Malaysia) Sarawak nanti,” katanya.
Sejak menjulang Piala Agong pada 2006, Selangor gagal merampas semula trofi berprestij itu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi juara edisi tahun lalu selepas menewaskan Putrajaya 29-22 pada final di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.