MASALAH bayaran gaji melanda skuad Tok Gajah dengan sumber menyatakan kini bayaran tertunggak sudah memasuki lima bulan dan para pemain seakan-akan memprotes dengan mempamerkan aksi kurang meyakinkan ketika tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan FC di Temerloh pada Sabtu.
Tinjauan FLASH SUKAN di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh berjaya mendapatkan keluhan daripada sumber yang rapat dengan pasukan dan mereka mengesahkan pemain-pemain terkesan dengan masalah yang tidak berpenghujung ini.
Mereka juga sering dijanjikan dari satu tarikh ke tarikh tetapi sehingga tamat perlawanan, masih tidak ada pembayaran yang diterima para pemain dan mereka nyata semakin kurang bermotivasi.
Sumber itu turut mendedahkan ada pemain yang sudah diperintah keluar dari rumah sewa mereka di Kuantan malah ada beberapa pemain yang sudah mula menerima surat arahan tarik kereta daripada bank kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan kerana tunggakan gaji.
“Lima bulan tanpa gaji dan sampai bila para pemain perlu mendengar janji-janji manis ini. Sebagai seorang Muslim, mungkir janji adalah satu dosa besar dan kami tidak faham bagaimana pihak bertanggungjawab boleh tidur lena setiap malam.
“Kasihan ada beberapa pemain yang sangat-sangat terkesan sedangkan mereka tidak culas memberikan komitmen dengan hadir setiap sesi latihan. Kasihanilah mereka dan jangan biarkan Sri Pahang ini menjadi pasukan belasahan disebabkan perkara ini.
“Mana pernah Pahang bermain seteruk ini. Gaji yang dijanjikan masuk ke dalam akaun umpama bola yang tidak masuk ke dalam gol dalam perlawanan ini dan mungkin itu tanda protes para pemain kepada pihak pengurusan,” jelas sumber itu.
Tanda-tanda protes para pemain seakan-akan dapat dilihat dalam perlawanan itu dengan pelbagai peluang seakan-akan sengaja dilepaskan termasuk sepakan penalti yang melangit pada babak pertama.