KELAB Lion City Sailors berjaya meraih kejuaraan Piala Singapura buat pertama kali dalam sejarah kelab selepas menewaskan Hougang United 3-1 dalam aksi final di Stadium Jalan Besar pada Sabtu.

Sailors yang menamatkan Liga Singapura di tangga kedua di belakang Albirex Niigata merangkul gelaran menerusi jaringan Richairo Zhivkovic, Shawal Anuar dan jaringan sendiri Naoki Kuriyama sekaligus menamatkan kekecewaan tersingkir dari Liga Juara-Juara AFC.

Ketua pasukan, Hariss Harun yang menjuarai banyak kejohanan bersama Johor Darul Ta’zim sebelum ini berbangga dengan kejayaan pertamanya menjulang Piala Singapura.

“Pasukan menunjukkan kesungguhan ketika diperlukan termasuk beberapa pemain muda. Saya gembira dan bangga untuk memenangi kejuaraan ini dalam final pertama tetapi kami mahu memenangi Liga Singapura sekali lagi,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Sailors, Aleksander Rankovic juga memuji semua pemainnya terutama pemain tempatan dan dia menganggap kemenangan ini adalah kemenangan yang berhak.

“Ianya bukan hanya pemain antarabangsa tetapi kami mempunyai sekumpulan pemain yang baik yang tidak membenarkan lawan menyerang kami dan kami berhak dengan kemenangan ini,” jelasnya.

Meskipun tewas, Hougang United menerima perkhabaran yang baik apabila mereka layak untuk ke peringkat play off Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim hadapan selepas Lion City Sailors telah menempah tiket ke peringkat kumpulan kejohanan yang sama.