PEMAIN Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi tekad mahu mencipta legasi bersama keluarga baharunya itu selepas sah menyertai pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Liridon menerusi laman Instagram miliknya mengakui gembira dapat kembali ke kancah Liga M selepas kira-kira dua tahun berkelana di liga luar negara.

“Terima kasih atas sambutan hangat pemain dan kakitangan Terengganu FC. Gembira berada di sini, dalam kelab besar.

“Tiada apa yang perlu diperkatakan. Ayuh cipta legasi. Matdon sudah kembali,” tulis Liridon di Instagram Story miliknya.

Liridon bukan nama yang asing dalam kancah Liga Malaysia.

Pemain naturalisasi negara itu berhijrah ke pasukan TFC secara pinjaman selama semusim daripada juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Liridon bukan nama asing untuk kancah Liga M dengan dia mula beraksi dalam saingan itu bersama Kedah pada tahun 2015 hingga 2019.

Malah, pemain tengah berusia 31 tahun itu mencipta nama bersama Kedah dengan memenangi beberapa gelaran termasuk juara Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017 bersama Sang Kenari.

Mesra dengan panggilan Mat Don, dia  kemudian beraksi bersama Melaka dalam saingan Liga Super pada 2019 sebelum menyertai skuad JDT.

Liridon yang turut dikenali sebagai Matdon pernah dipinjamkan kepada kelab Australia, Newcastle Jets pada 2021 sebelum berhijrah ke kelab Odisha (India) dan Khon Kaen United (Thailand).