LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) meraikan lebih 70 individu, ketua-ketua dan delegasi kedutaan dari seluruh dunia seperti Austria, Cuba, Itali, Jepun, Poland, Uruguay, Thailand, Uzbekistan, Kenya, Russia, Nigeria, Bangladesh, Colombia, India dan beberapa negara lagi pada hari terbuka SIC pada Isnin.
Hari terbuka ini diadakan bertujuan untuk memperkenalkan fasiliti dan penawaran yang boleh dijalankan di SIC kepada para delegasi dan juga sebagai inisiatif untuk meyakinkan pemegang taruh dari industri permotoran di Malaysia dan luar negara.
Ianya juga bertujuan untuk memperlihatkan kemampuan SIC sebagai destinasi pilihan untuk sukan dan acara antarabangsa di ASEAN dengan delegasi berpeluang melawat pelbagai kawasan di sekitar litar seperti laluan pit, paddock dan pelbagai lagi fasiliti yang disediakan SIC.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh yang berbangga dengan SIC yang menjadi tuan rumah dalam pelbagai acara permotoran seperti Formula 1, MotoGP, WSBK dan pelbagai lagi siri perlumbaan domestik dan antarabangsa.
“Acara sukan yang dianjurkan oleh SIC telah membantu ekonomi dan industri pelancongan negara hasil dari perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pelancong luar negara dan juga dalam negara selagi mencipta banyak peluang pekerjaan.
“Untuk tahun ini, pelaburan besar sebanyak RM20 juta telah disalurkan kepada penambahbaikan fasiliti sukan di sini dan berharap ianya mampu menarik lebih banyak acara selain permotoran dan menjadikan litar ini lebih mesra kepada rakyat Malaysia,” kata Hannah dalam ucaptamanya
Sementara itu SIC juga mahu meluaskan potensinya kerana ia mahu meningkatkan pendapatan serta mahu menjadikan litar ini sebagai hab ‘edutainment’ menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif.
“SIC berazam untuk menginspirasikan generasi baharu sebagai venue permotoran yang canggih dan juga sebagai hab ‘edutainment’ di rantau ini. SIC sudah berjaya menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara permotoran antarabangsa dan mahu meningkatkan lagi pendapatan menerusi pelbagai lagi acara.
“Ianya akan menjadi satu kerugian sekiranya litar ini tidak dimaksimumkan penggunaannya sehingga ia mencapai potensi sepenuhnya,” katanya.
Kementerian Belia Dan Sukan serta SIC memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekosistem belia dan sukan di negara ini. Selain mengekalkan status sebagai hab permotoran di rantau ini, SIC juga akan terus menghasilkan bakat-bakat baharu yang akan menyumbang kepada pembangunan holistik sukan negara.
SIC juga mahu membawa venue ini lebih dekat kepada rakyat Malaysia dengan membuka ruang kepada mereka untuk mengamalkan kehidupan yang sihat dan menjalankan aktiviti dan acara selain permotoran.