SAINGAN Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas akan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu hadapan dan SIC kini sudah diperingkat terakhir sebelum mengalu-alukan kehadiran pelumba dan penyokong yang dijangka membanjiri litar ini.
Dengan tema perlumbaan ‘Welcome Home’, kehadiran beberapa pelumba tempatan dilihat berjaya membantu meningkatkan jualan tiket dengan sasaran 170,000 penonton dijangka dapat dicapai menjelang hari perlumbaan.
Menerusi satu sidang media atas talian, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif yakin dengan pelbagai promosi dan aktiviti yang telah diatur pihaknya akan merangsangkan lebih banyak jualan tiket.
Dia turut mengakui ketiadaan pelumba legenda MotoGP, Valentino Rossi sedikit memberi kesan kepada jualan tiket tetapi logistik dan tiket pesawat ke Malaysia yang mahal dilihat menjadi faktor utama yang menggangu jualan.
“Ketika ini jualan tiket amat baik dengan beberapa bahagian grandstand sudah habis terjual. Pihak SIC dan juga Petronas masih melakukan pelbagai aktiviti untuk mempromosikan perlumbaan ini.
“Sejak dari dahulu pengunjung domestik menguasai 80 peratus jualan tiket manakala 20 peratus dari pengunjung antarabangsa tetapi tahun ini ada sedikit penurunan kerana masalah logistik ke Malaysia seperti tiket pesawat yang mahal dilihat menjejaskan sedikit kehadiran penonton antarabangsa.
You can now get your PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA tickets at KLCC! 😎 Drop by at PETRONAS Booth at C floor, opposite to Dior Beauty to get your #MalaysianGP2022 #MotoGP tickets
Get it now before they sell out 🔥 pic.twitter.com/81af5u9SUK
— Sepang Circuit (@sepangcircuit) October 13, 2022
“Kami masih lagi dengan sasaran 170,000 pengunjung meskipun sedar ianya sukar tetapi kami mempunyai satu minggu lagi untuk memastikan setiap tiket dapat dijual dengan pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk para pengunjung nanti.
“Ketiadaan Valentino Rossi sememangnya memberikan kesan bukan sahaja buat SIC malah kesemua litar seluruh dunia kerana dia mempunyai peminat tersendiri yang akan hadir ke litar tetapi kehadiran empat pelumba tempatan akan menarik lebih ramai penonton ke litar terutama pada hari perlumbaan,” katanya dalam sidang media itu.
Shafriman juga berharap agar para pelumba tempatan dapat memberikan saingan terbaik apabila membawa nama Malaysia kerana mereka mempunyai kelebihan beraksi di litar sendiri.
Selain itu, pihak SIC juga telah memasang 65 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar paddock bagi meningkatkan lagi keselamatan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.
Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia Petronas akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober 2022 dengan kejuaraan pelumba MotoGP mungkin akan ditentukan di Sepang dan ianya pasti menjadi tarikan buat peminat sukan permotoran tempatan.