PELUMBA pasukan ONEXOX Racing, Md Norhakim Md Norhafizullah berjaya mengambil tempat di podium buat pertama kali semenjak berlumba di kategori CP125.

Pelumba yang berasal dari Kelantan ini telah menampilkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan prestasinya di pusingan pertama dan kedua.

“Saya akan cuba mengulangi kejayaan saya seperti di Litar Sepang yang lepas. Untuk itu, saya akan meneruskan latihan kecergasan fizikal agar dapat menguasai litar Terengganu yang agak teknikal.

“Litar Terengganu adalah litar kegemaran saya. Saya dan rakan sepasukan saya akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan pusingan keempat nanti.

“Matlamat kali ini adalah untuk mengumpul sebanyak mata yang mungkin bagi pasukan saya,” ujar Norhakim yang sebelum ini giat dalam kategori Wira KBS dan telah menaiki podium pada tahun 2020.

Tahun ini merupakan tahun kedua bagi Norhakim beraksi di kategori CP125 dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2022 dijadual memasuki pusingan keempatnya di Litar Permotoran Terengganu.