BEKAS ratu beregu campuran negara, Goh Liu Ying yakin dengan kemampuan dua pemain beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam kejohanan akan datang.
Pada Kejohanan Piala Sudirman tahun ini, Goh Liu Ying meletakkan sasaran bahawa pasukan negara mampu melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.
Biarpun begitu, dia enggan meletakkan tekanan tinggi kepada barisan pemain negara kerana mengetahui intensiti bermain di kejohanan besar adalah luar biasa.
“Semua pemain beregu campuran kita berada pada sepuluh terbaik juga. Saya boleh rasakan mereka mampu letakkan separuh akhir sebagai sasaran.
“Tetapi yang paling penting adalah mencuba yang terbaik sebab saya tahu bagaimana tekanan apabila bermain Piala Sudirman. Jadi, saya hanya ingin mereka buktikan yang terbaik buat Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Kejohanan Badminton GLY 3 v 3 di Megah Rise Badminton Court, Petaling Jaya.
Selain Piala Sudirman, Liu Ying percaya gandingan dua beregu campuran negara juga mampu melayakkan diri ke saingan Sukan Olimpik Paris 2024 bersandarkan ranking semasa mereka yang berada pada kelompok 15 terbaik dunia.
“Sudah tentu kita mempunyai peluang yang baik dalam Olimpik Paris kali ini. Kita mempunyai dua pasangan beregu campuran dalam kelompok 15 terbaik dan saya rasakan sepatutnya tidak ada masalah bagi mereka melayakkan diri ke Olimpik,” tambahnya.
Terdahulu, bekas pemain badminton negara tersebut berpuas hati dengan penglibatan peserta dalam kejohanan pertama di bawah penganjurannya.
Dia yakin konsep baharu dengan memperkenalkan 3 lawan 3 ini mampu diangkat dan dipertandingkan secara rasmi di negara Malaysia.
Untuk jangka masa panjang, Liu Ying ingin kejohanan akan datang di bawah penganjurannya akan dibuka kepada umum serta memperluaskan saingan kategori perseorangan dan beregu bagi membuka peluang kepada pemain amatur berbakat menyerlahkan bakat terpendam mereka.
“Saya rasa event ini sangat penting bagi saya. Jadi, saya bawa konsep 3v3 kerana platformnya belum secara rasmi lagi diterima ramai.
“Akan ada pertandingan perseorangan dan beregu terutama bagi pemain amatur, 3v3 ini hanyalah permulaan. Seterusnya, saya akan buka kepada umum untuk dipertandingkan,” ujarnya.