“ADA audiens namun kos bagi mendapatkan hak siaran perlu diteliti terlebih dahulu.”

Itu komen Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika mengulas mengenai keputusan sama ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan akan menyiarkan secara langsung Kejohanan Bola Sepak Eropah, atau lebih dikenali sebagai Euro 2024.

Fahmi yang ditemui pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Wisma Bernama, enggan mengulas lanjut perkara terbabit kerana tidak mempunyai maklumat terkini mengenainya.

“Saya akan semak status (siaran Euro 2024) dengan Ketua Pengarah (KP) Penyiaran,” katanya.

Euro 2024 berlangsung di Jerman dari 14 Jun hingga 14 Julai 2024. |Foto Agency

Meskipun sedar Euro 2024 mampu menarik banyak tontonan, Fahmi berkata, faktor kos antara perkara yang menjadi pertimbangan utama: “Kalau kos terlalu tinggi, perlu lihat sama ada (bajet) telah diperuntukkan atau tidak dan perkara inilah yang saya akan minta KP Penyiaran teliti.

“Jika sudah diperuntukkan, kita akan ambil (hak siaran), jika di luar daripada yang telah diperuntukkan, ia menjadi isu… jadi saya akan rujuk dengan KP nanti.”

RTM pernah membeli hak siaran dan menjadi penyiar rasmi Euro 2020.

Jerman menjadi tuan rumah Euro 2024, akan berlangsung selama sebulan dari 14 Jun hingga 14 Julai tahun ini.

Hari ini, pada ruangan Komentar, FLASH SUKAN menggesa RTM mengambil hak siaran Euro 2024, bagi membolehkan peminat bola sepak negara yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dihidangkan dengan tontonan sukan yang berkualiti antarabangsa.

Untuk rekod, RTM pernah mengambil hak siaran dan menyiarkan secara langsung perlawanan Euro 2020.