DRAMA bola sepak Inggeris berterusan apabila insiden kekecohan sekali lagi tercetus semasa perlawanan akhir Liga Juara-Juara antara Liverpool menentang Real Madrid pada Sabtu lepas.

Liverpool berang apabila kerajaan Perancis menuding jari kepada penyokong The Reds, kononnya punca kekecohan tercetus pada aksi akhir di Stade de France.

Pengerusi The Reds telah menulis kepada Menteri Sukan Perancis, Amelia Oudea Castera untuk memohon maaf kerana menuduh penyokong Liverpool memiliki tiket palsu untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Liverpool, Billy Hogan turut meluahkan rasa kecewanya serta akan cuba untuk melindungi penyokong untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Perancis.

“Ia adalah pengalaman terburuk buat penyokong, kami akan berusaha mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” ujarnya kepada wartawan.

Tohmahan tersebut berterusan apabila pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dikatakan telah menghasut semua penyokong untuk hadir ke stadium tanpa tiket.

Bagaimanapun, Menteri Sukan Perancis mengakui kesilapan tersebut serta menjelaskan akan memberi pampasan sebanyak 2,700 tiket yang telah dinafikan hak mereka menyaksikan aksi akhir Liga Juara- Juara.

“Kita telah bertanya kepada Uefa dan mereka telah bersetuju untuk mengenalpasti pemilik tiket tersebut dan memberikan pampasan kepada mereka,” tegas Amelia Oudea Castera.

Insiden tersebut menyaksikan gas pemedih mata di lepaskan pihak polis Perancis terhadap penyokong Liverpool, kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah kerana dipercayai memiliki tiket palsu.