LIVERPOOL meraih kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United dalam perlawanan minggu ke-27 Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield, awal pagi Khamis.

Keputusan ini membolehkan Liverpool memperlebar jurang dengan pesaing terdekat mereka, Arsenal, dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana Inggeris. Ini kerana The Gunners hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika bertandang ke markas Nottingham Forest.

Liverpool kini berada di puncak liga dengan 67 mata, mengatasi Arsenal yang menghuni tangga kedua dengan kelebihan 13 mata.

Walaupun tanpa kehadiran pengurus Arne Slot yang dikenakan hukuman penggantungan, Liverpool berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi pemain tengah Hungary, Dominik Szoboszlai.

Gol terhasil selepas Szoboszlai melepaskan rembatan dalam kotak penalti selepas menerima hantaran daripada Luis Diaz, menewaskan penjaga gol Newcastle, Nick Pope.

Namun, Liverpool tidak mudah mendominasi permainan selepas gol tersebut. Newcastle memberikan tentangan sengit dengan corak permainan agresif dalam usaha mengimbangi tempo perlawanan.

Perlawanan kekal sengit sebelum Liverpool berjaya menggandakan kelebihan mereka pada separuh masa kedua. Gol kedua The Reds dijaringkan oleh Alexis Mac Allister yang memanfaatkan hantaran jarak dekat daripada Mohamed Salah.

Meskipun sudah mendahului 2-0, Liverpool terus berusaha menambah jaringan. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berhasil dan keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat ditiup oleh pengadil.