KAPTEN Luton, Tom Lockyer mengalami serangan jantung ketika pertembungan antara pasukannya dan Bournemouth sekaligus memaksa perlawanan itu dihentikan.
Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu menerima rawatan di padang dan dibawa ke hospital selepas rebah pada minit ke-60 perlawanan.
Sebuah kenyataan dari Luton bertulis: “Pegawai perubatan kami mengesahkan kapten Hatters mengalami serangan jantung di padang, tetapi memberikan tindak balas ketika dia diusung keluar.
“Dia menerima rawatan di dalam stadium, dan kami amat berterima kasih kepada pasukan perubatan kedua-dua pasukan.
“Tom dipindahkan ke hospital dan kami boleh sahkan kepada penyokong-penyokong yang dia kini dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemeriksaan lanjut.”
Ini merupakan kejadian kali kedua Lockyer menjalani pembedahan jantung selepas rebah ketika kemenangan Luton pada final play-off Liga Kejuaraan menentang Coventry pada Mei.
Selepas keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu, pemain dan kakitangan kelab muncul semula dari terowong untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong.
Pengurus Luton, Rob Edwards merupakan orang pertama yang berlari ke padang selepas melihat Lockyer rebah ketika perlawanan. Dia jelas beremosi ketika mengucapkan terima kasih kepada penyokong.
Kapten itu telah menerima banyak penghormatan selepas insiden itu. Pasukan lawan, Bournemouth turut memberi respon mengenai insiden mengejutkan itu.
Mereka berkata: “Kami lega mendengar Tom memberi tindak balas. Fikiran dan doa kami akan terus bersama Tom dan keluarganya pada masa ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan perubatan atas tindakan pantas mereka serta semua yang berada di dalam stadium atas sokongan dan perpaduan pada saat yang sukar itu.”