KETUA jurulatih lompat jauh para negara Shahrul Amri Suhaimi mendedahkan perang psikologi telah bermula ke atasnya sejak beberapa hari lalu.
Jelasnya, kali ini agak berbeza dengan temasya-temasya yang lain kerana kebiasaannya perang psikologi dibuat kepada atlet, namun sebaliknya di Sukan Paralimpik Paris ini.
Bagaimanapun Shahrul Amri menegaskan perkara itu langsung tidak memberi kesan kepada atletnya Datuk Abdul Latif Romly menjelang persembahannya esok (Sabtu).
“Sepanjang latihan ada sahaja pasukan yang datang mengambil gambar dan video ketika kami berlatih. Malah ada juga yang berani berdepan dengan saya beritahu, ‘Kami akan fight’.
“Mereka tak pergi kepada atlet, tetapi jumpa dengan saya. Jadi untuk saya, tak kisah sangat pun. Saya tidak mahu Latif berada tertekan dengan keadaan ini,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN di Perkampungan Atlet Sukan Paralimpik.
Dalam pada itu, Shahrul Amri mengakui persaingan di sini bukanlah mudah biarpun rekod terbaharu T20 (masalah pembelajaran) yang dipegang Latif setakat ini lebih sangat baik daripada negara-negara lain.
Terbaharu Mei lalu, Latif kekal memegang gelaran juara pada Kejuaraan Olahraga Para Dunia di Kobe Jepun dengan rekod 7.30 meter, gelaran buat kali keempat.
“Saya tak mahu sebarang tekanan kepada Latif. Setiap hari sejak tiba minggu lalu, kami menjalani latihan seperti biasa.
“Kita tidak mahu ‘over confident’ kerana sudah tentu setiap negara lain telah membuat persiapan rapi dan bersedia dengan sebarang risiko.
“Apa yang saya mahu sekarang supaya Latif kekal dengan ketajaman fokusnya, lebih-lebih lagi sejak semalam (Khamis) dia ada sedikit mengalami kecededraan otot ketika berlatih. Saya harap ia cepat sembuh dan tidak mengganggu konsentrasinya,” tambah Shahrul Amri.
Sebagai rekod, Latif merupakan juara bertahan pingat emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik di Rio 2016 dan Tokyo 2020.