BEKAS penyerang Manchester United, Louis Saha, menyatakan sokongan kepada Cristiano Ronaldo untuk kembali ke Old Trafford pada masa hadapan dengan peranan yang berbeza.
Ronaldo pernah kembali ke Manchester United pada tahun 2021, namun tempoh kedua beliau di Old Trafford tidak berjalan dengan lancar. Akhirnya, Ronaldo meninggalkan Manchester United pada November 2022 selepas berselisih dengan pengurus Erik ten Hag.
Selepas berpisah dengan Manchester United, Ronaldo menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr, dan berjaya membangkitkan kembali kariernya di Timur Tengah.
Walaupun begitu, Saha berpendapat bahawa Ronaldo harus kembali ke Manchester United dengan peranan yang berbeza, seperti jurulatih atau pengurus.
“Cristiano Ronaldo mempunyai semangat dan dedikasi untuk kembali ke Manchester United suatu hari nanti, sama ada sebagai jurulatih atau bahkan pengurus.
“Masa jabatan keduanya tidak berakhir seperti yang diharapkan semua orang, dan anda boleh melihat mengapa ia membuatnya kecewa. Dia tidak melihat semangat dan keinginan yang sama dari para pemain muda seperti yang biasa dia lihat,” kata Saha kepada TVSporten.
Saha turut mengakui bahawa tidak semua bekas pemain Manchester United boleh berjaya sebagai pengurus, tetapi beliau percaya Ronaldo mampu mencapai kejayaan jika terjun ke dunia kejurulatihan.
“Kita telah melihat Roy Keane terjun ke dunia pengurusan dan berjaya. Cristiano akan memahami apa yang perlu dilakukan sebagai pengurus, dan saya tidak melihat alasan mengapa dia tidak boleh berjaya,” ujarnya.