BEKAS pemain skuasy wanita No. 5 Dunia, Low Wee Wern mencipta sejarah, memasuki fasa baharu dalam kariernya apabila secara rasmi mengumumkan menggalas tugas selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina.
Ironinya, dia menjadi wanita pertama menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di mana-mana negara.
Wee Wern mengumumkan persaraan kira-kira dua minggu lalu selepas dua dekad aktif sebagai pemain, dan pengumuman itu dibuat di akaun rasmi Facebook miliknya.
“Minggu lalu saya mengumumkan persaraan saya daripada (karier) skuasy profesional dan hari ini saya teruja untuk berkongsi bahawa saya secara rasminya adalah ketua jurulatih pasukan skuasy kebangsaan Filipina.
“Saya tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku secepat ini tetapi saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan barisan pemain di sini untuk masa depan yang dipenuhi dengan harapan, kerja berpasukan serta meraih kejayaan.”
Wee Wern turut berkongsi bahawa dia menjadi ketua jurulatih wanita pertama yang diberi kepercayaan menggalas tugas sedemikian untuk sesebuah negara.
Wee Wern pernah menyuarakan hasrat bersara selepas bergelut mencapai prestasi terbaik susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) di lutut kirinya.
Sepanjang kariernya, Wee Wern pernah mencapai kemuncak dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dengan menjadi pemain Malaysia kedua dalam sejarah selepas legenda skuasy Datuk Nicol David yang memecahkan kedudukan lima teratas.
Pada masa sama, dia pernah membantu kem skuasy negara meraih emas acara berpasukan masing-masing pada Sukan Asia 2010 (Guangzhou) dan 2014 (Incheon).