TUNGGU beberapa hari lagi untuk memberi ruang kepada pihak berkaitan mengumpul maklumat bagi menyelesaikan isu, bagi menyelesaikan teka teki berkaitan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin isu penganjuran LTdL 2023 akan diselesaikan dan meminta semua pihak memberi ruang kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Perseketuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menguruskan hal berkenaan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, mereka (MSN-PKBM) sedang mengumpul data dan mengatasi masalah berkaitan.

“Berkenaan penganjuran LTdL, MSN sedang berbincang dengan persatuan dan saya fikir Datuk Amarjit Singh (Naib Presiden PKBM) juga ada memberitahu akan membincangkan perkara ini dengan badan induk antarabangsa (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) untuk melihat bagaimana mereka dapat menyelesaikan isu ini,” kata Hannah, menganggap itu itu bukan perkara baharu dan sudah lama wujud.

“Saya percaya MSN dan PKBM dapat mencari jalan untuk selesaikan isu ini dalam beberapa hari lagi. Ini bukan perkara baru, sudah wujud sebelum ini, tunggu MSN dan PKBM untuk selesaikan,” kata Hannah ketika ditemui di kejohanan hoki kerjasama antara Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Kelab Diraja Selangor (RSC).

Pada Jumaat, penganjur perlumbaan LTdL lalu, Human Voyage (M) Sdn Bhd (HVSB) sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang kepada PKBM.

Perkara itu diambil susulan tindakan badan induk berkenaan memberi kenyataan berhubung perkara yang menjatuh imej HVSB.

Ketua Pegawai Operasi LTdL dari HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga sudah dibayar kepada pasukan.