PULAU Langkawi sekali lagi disisihkan dari perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila laluan penganjuran LTdL 2023 dimumumkan hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam sidang akhbar sejurus pelancaran LTdL 2023 di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya.
“Perlumbaan LTdL tahun ini melibatkan 11 negeri (di Semenanjung Malaysia) kecuali Perlis. Jika kita melibatkan Langkawi, ia akan menambahkan kos (penganjuran).
“Ini bukan kali pertama (Langkawi tiada dalam senarai laluan LTdL) tetapi nama Langkawi is still there. Ini (ketiadaan Langkawi dalam senarai laluan LTdL) bukan perkara luar biasa.
“Kita mengambil kira aspek logistik… kos (penganjuran) tinggi. Laluan di Langkawi bukan comfortable yang sesuai untuk hos (LTdL tahun ini),” katanya.
Turut hadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab.
Edisi ke-27 LTdL itu, akan kembali dianjurkan MSN membabitkan lapan peringkat perlumbaan merentasi 11 buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan sejauh 1,280 kilometer (km).
MSN mempunyai rekod baik menganjurkan LTdL daripada tahun 2012 hingga 2014 dan diberikan pengiktirafan anugerah Excellence Level of Organisation oleh badan induk, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Senarai pasukan yang mengambil bahagian pada edisi kali ini belum dimuktamadkan namun setakat ini, penganjur memaklumkan sudah menerima penyertaan minimum tiga pasukan dunia (UCI World Team) dan tujuh pasukan Pro (UCI Pro Team).
Turut bakal menghiasi LTdL 2023 yang masih kekal dengan status Pro Series adalah 11 pasukan benua (UCI Continental) dan wakil tunggal tempatan – pasukan kebangsaan Malaysia.
Mengikut jadual, LTdL 2023 dijangka memulakan aksinya dari 23 hingga 30 September depan dengan Kerteh, Terengganu menjadi pembuka tirai peringkat pertama dan berakhir peringkat kelapan di Kuala Lumpur.