PELUMBA pasukan kebangsaan, Elmi Jumari disahkan patah jari dan tulang selangka, akibat terbabit kemalangan pada penamat Peringkat 2, perlumbaan Le Tour de Langkawi, di Butterworth.

Jurulatih kebangsaan Mohd Yusof Nasir memberitahu, Elmi bukan hanya patah jari tangan kiri tetapi dua lagi jari kanan.

Katanya, Elmi selamat menjalani pembedahan di jari kiri malam tadi di sebuah hospital swasta di Bagan Serai dan dua lagi pembedahan dijadual menyusul selepas ini.

Mohd Yusof Nasir menerangkan kondisi terkini Elmi Jumari.

“Elmi sudah selesai menjalani pembedahan di jari tangan kirinya semalam. Selepas ini baru boleh buat mengenai tulang selangka dan jari kanan namun sama ada nak buat di Butterworth atau Kuala Lumpur, kena ada perbincangan semula dengan hospital nanti,” katanya, yang melawat Elmi di wad malam tadi.

“Saya sempat jumpa dia tetapi tak sempat bercakap sebab sudah malam. Namun semasa dipindah dari Hospital Seberang Jaya ke hospital swasta, dia memohon maaf kerana tak dapat meneruskan perlumbaan,” kata Yusof, mengesahkan tugas kapten pasukan kini digalas Muhammad Afiq Huznie Othman.

Pasukan Malaysia bakal meneruskan baki perlumbaan dengan lima pelumba iaitu Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas, Tsen Ren Bao, Afiq dan Muhsin Al Redha Misbah.

“Apapun perancangan saya masih sama, kita cuba melakukan terbaik untuk pasukan. Cuba dapatkan kelompok tiga terbaik (pasukan) Asia walaupun ketiadaan Elmi, cuba terbaik untuk Elmi dan negara.

“Mentaliti pelumba lain masih tinggi dan mahu hadiahkan kemenangan kepada Elmi,” kata Yusof.