PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka menelan kos melebihi RM15 juta berikutan peningkatan kos logistik, selepas perlumbaan edisi ke-28 itu melibatkan Pulau Langkawi dan Sarawak.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar kos penganjuran namun mengakui ia melibatkan kos yang agak tinggi.
“Kos memang agak tinggi sedikit melebihi RM15 juta.. sekarang ini kita ada bajet, kadang-kadang bajet juga boleh berubah.
“Dari masa ke masa, kita akan tengok tetapi memang kalau RM15 juta itu, mungkin boleh buat 4 atau 5 peringkat sahaja dan mungkin hanya melibatkan Semenanjung Malaysia.
“Jadi apabila pergi Sabah Sarawak, yang mana menyeberang lautan, dan menyeberang ke Langkawi… bajet kita lebih bertumpu kepada logistik sebenarnya,” kata Abdul Rashid, selepas majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Tourism Malaysia dan Sidang Media Petronas Le Tour de Langkawi 2024 di MSN, Bukit Jalil.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan.
Pada majlis itu, Tourism Malaysia meneruskan Kerjasama Strategik menerusi penajaan RM1 juta sekali gus menjadi pemegang jersi Polka Dot Raja Bukit untuk perlumbaan edisi ke-28 tahun ini.
LTdL 2024 akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highland (peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), peMiri ke Bintulu (peringkat 7), Bintulu (peringkat 8).
Untuk rekod, Kementerian Belia dan Sukan memperuntuk RM8 juta bagi penganjuran LTdL 2023 manakala pada edisi sebelumnya menelan kos sekitar RM14 juta hingga RM17 juta.
Sebelum ini, perlumbaan LtdL 2020 membabitkan kos RM20 juta selepas perlumbaan edisi ke-25 itu merentasi Sabah dan Sarawak dan berakhir di Langkawi.
Dalam pada itu, Abdul Rashid menyuarakan keyakinan bahawa pihaknya sebagai penganjur perlumbaan, tidak berdepan masalah kos kerana beberapa syarikat lagi akan memuktamadkan perjanjian.
Katanya, selain Tourism Malaysia, beberapa lagi bakal penaja yang sedang mempertimbangkan jumlah tajaan untuk perlumbaan kali ini.
“Kita akan buat pengumuman berkaitan penajaan, cuma saya belum boleh umumkan brapa total kerana ada yang masih dalam perbincangan dan ada yang belum umumkan sepenuhnya berapa mereka nak beri, ada penaja yang belum ada angka penajaan.
“Tidak molek kalau saya sebut berapa angka kerana kita ada lebih kurang sebulan lagi, masih ada penaja yang sedang nak masuk,” kata Rashid.