PERSAINGAN merebut jersi kuning juara keseluruhan (GC) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dilihat terbuka luas selepas halangan paling sukar adalah pendakian ke puncak Cameron Highlands pada perlumbaan Peringkat 3 sejauh 170.3 kilometer (km) bermula dari Taiping.

Kawasan tanah tinggi itu tidak sesukar pendakian Genting Hihglands yang tidak berada dalam perlumbaan edisi ke-28 akibat kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun, ia sekali gus membuka peluang buat pelumba negara memburu jersi berkenaan buat kali pertama.

Kini, peluang untuk pelumba Malaysia bersinar terbuka dengan luas, ditambah lagi saingan kali ini diadakan di laluan landai.

Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit menjangkakan perebutan juara keseluruhan lebih sengit berbanding pendakian.

Menurut Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit analisis data perlumbaan empat tahun lalu menunjukkan peluang cerah buat pelumba Malaysia di puncak Cameron Highlands.

“Tidak seperti Genting Highlands yang jurang masa boleh mencapai 10 minit, Cameron tidak terlalu tinggi. Sebelum ini, jurang masa untuk Cameron hanya sekitar satu minit,” ujar Sayuti.

Dengan ketiadaan Genting Highlands kali ini, strategi perlumbaan LTdL 2024 akan berfokus kepada pakar pecutan dan ‘all rounder’.

LTdL yang juga perlumbaan bertaraf 2.pro juga akan kembali ke Pulau Langkawi mulai 29 September ini dengan Miri dan Bintulu, Sarawak sebagai venue baru yang diperkenalkan untuk edisi kali ini.

“Tanpa Genting, saingan untuk memenangi jersi kuning lebih terbuka, terutamanya kepada pelumba Malaysia dan Asia. Genting memang terkenal dengan kesukarannya, Cameron, walaupun jauh, tidak setinggi Genting. Ini membuka lebih banyak peluang kepada pelumba tempatan dan Asia untuk merebut gelaran berkenaan,” tambah Sayuti.

MPC ditubuhkan pada Ogos lalu selepas Sapura Cycling Team (TSC) dibubarkan akibat ketiadaan penaja.

Di bawah pimpinan Sayuti, TSC pernah mengungguli LTdL pada tahun 2019 dan 2020 apabila Benjamin Dyball (Australia) dan Danilo Celano (Itali) muncul sebagai juara keseluruhan.