MENGUASAI pendakian berstatus Hors, bukan hanya menobatkan pelumba dsm-firmenich PostNL, Max Poole sebagai Raja Bukit, malah pemenang Queen Stage dari Taiping ke Cameron Highlands.
Poole mempamerkan pecutan bertenaga selepas pendakian Hors di Brinchang, muncul yang pertama melintasi garisan penamat Peringkat 3 sejauh 170.3 kilometer (km).
Dia yang menaiki podium di Vuelta Espana tahun ini, menewaskan pakar pendakian Astana Qazaqstan, Harold Martin Lopez di tempat kedua manakala ketiga, Thomas Pesenti dari JCL UKYO.
Kejayaan melintasi garisan penamat dengan catatan masa empat jam 24 minit 34 saat (s) membolehkan Poole merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan (10:03.58s), diikuti Martin Lopez (0:05s) dan Pesenti (0:06s).
Pelumba Great Britain berusia 21 tahun itu berkata, dia dikelilingi pakar pendakian hebat ketika menuju ke garisan penamat namun hanya mengambil pendekatan sabar, tunggu dan lihat.
“Ramai yang bagus (dalam pendakian) berada berdekatan saya. Saya cuba untuk menyelesaikan tugas ini dengan melakukan henjutan ketika memecut menuju ke garisan penamat. Ia dilaksanakan dengan baik. Gembira mendapatkan kemenangan pertama di sini,” katanya.
Sementara itu, Martin Lopez mengakui kehebatan Poole terutama ketika memecut menuju ke garisan penamat dan dia terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun mendapat bantuan daripada rakan sepasukan, Anthon Charmig.
“Dia lebih baik ketika melakukan pecutan, saya tidak risau hanya perlu berasa gembira dengan kedudukan kedua ini. Ada banyak lagi peringkat, mungkin kami boleh mendapat keputusan baik,” kata pelumba kelahiran Ecuador.
Poole yang mengulangi kejayaan bekas pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Marcel Kittel pada 2011 (juara peringkat perlumbaan) turut merangkul jersi polka dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 15 mata selepas menawan zon pendakian ketiga berstatus Hors Class di Brinchang.
Selepas Peringkat 3 juga, dua pelumba kehilangan jersi iaitu Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling) dan Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) yang sebelum ini berjaya menguasai kategori Terbaik Asia dan Raja Pecut.
Jersi putih berpindah milik kepada pelumba JCL UKYO, Manabu Ishibashi, manakala jersi jingga (Raja Pecut) dirampas rakan sepasukannya yang juga juara peringkat kedua, Matteo Malucelli.
Perlumbaan peringkat keempat akan bersambung esok dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong dengan jarak 131.2km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau, manakala hanya terdapat satu zon pendakian di GAP.