PELUMBA muda negara, Zulhelmi Zainal, bersedia untuk menggalas cabaran bersama pasukan benua Indonesia, Nusantara Pro Cycling Team, di perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Zulhelmi, yang sebelum ini mencipta kejayaan sebagai pelumba terbaik Asia dalam LTdL 2023, kini bertekad untuk memperbaiki prestasi dan mengharumkan nama pasukan baharunya.
Dia melahirkan rasa teruja untuk bersaing di kejohanan ini, sambil menyatakan bahawa persiapan yang dilakukan di Malaysia memberi keyakinan bagi menghadapi perlumbaan prestij ini.
“Ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Selepas berakhirnya LTdL tahun lalu, saya sememangnya menanam azam untuk mewakili pasukan benua dan ia akhirnya menjadi kenyataan.
“Pada awal tahun ini, saya menyertai pasukan benua Nusantara dengan kontrak selama setahun dan ini merupakan peluang buat saya untuk mengembangkan karier dalam arena lumba basikal lebuhraya.
“Perlumbaan LTdL tahun ini akan menjadi medan terbaik buat saya untuk mempamerkan kualiti yang ada pada diri saya dan saya sudah tidak sabar menanti LTdL tahun ini,” katanya.
Menurut pelumba berusia 24 tahun ini, beliau amat berpuas hati apabila menampilkan prestasi mengagumkan pada LTdL 2023 dengan mengakhiri perlumbaan Peringkat 4 dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Meru Raya, Ipoh, Perak selaku pelumba terbaik Asia.
“Saya berpuas hati dengan prestasi saya pada LTdL pertama tahun lalu. Terima kasih kepada coach, Mohd Yusof Nasir, kerana memberi peluang kepada saya menyertai pasukan kebangsaan Malaysia.
“Sudah tentu banyak pengalaman yang saya peroleh biarpun kali pertama menyertai LTdL.
“Pengalaman yang ada itu akan saya gunakan sebaik mungkin pada LTdL tahun ini bersama-sama pasukan Nusantara,” jelasnya.
Zulhelmi juga sempat memberitahu bahawa beliau tidak mengikuti latihan di Indonesia bersama rakan-rakan sepasukanya yang baharu, sebaliknya akan terus memanaskan badan di Malaysia sebagai persiapan beliau menghadapi LTdL 2024.
“Bagi saya tidak banyak bezanya jika saya menjalani latihan di Indonesia atau Malaysia kerana apa yang penting saya menjalani persediaan rapi sebagaimana pelumba lain sebelum LTdL bermula.
“Di sini saya masih berlatih bersama rakan-rakan pelumba Malaysia, Jadi saya tidak keseorangan kerana tetap menjalani latihan seperti biasa, cuma bukan dengan rakan-rakan pasukan Nusantara,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai sasaran peribadinya pada LTdL tahun ini, beliau lebih cenderung mengambil pendekatan realistik, tanpa mahu menjanjikan bulan dan bintang.
“Cukup jika saya letak sasaran berada dalam kelompok terbaik terutamanya pada perlumbaan peringkat laluan mendatar atau setidak-tidaknya saya dapat memperbaiki pencapaian tahun lalu dan semua itu bergantung kepada strategi pasukan.
“Buat masa ini, kami belum berbincang ke arah itu, tetapi bagi sasaran peribadi, sudah tentu saya mahu mencapai keputusan lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.
Edisi ke-28 LTdL tahun ini menyaksikan Pulau Langkawi kembali tersenarai selain turut menyajikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak iaitu bandar Miri dan Bintulu dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,190 kilometer.
Dengan kesungguhan dan semangat juang, tiada apa yang mustahil. Jadikan LTdL kali ini medan untuk mencipta sejarah baru, teruskan berjuang.