SAINGAN perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 semakin meriah apabila penganjur, Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan tiga penaja baharu menyertai perlumbaan berprestij itu.

Tiga penaja yang diumumkan adalah Pace sebagai penaja barangan rasmi, aplikasi TikTok pula bakal menjadi Rakan Media Sosial Rasmi manakala pembekal teknologi dari China, Dahua Technology kini adalah Penyedia Komunikasi Rasmi perlumbaan.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Ahmad Shapawi Ismail mengumumkan penajaan berjumlah RM760,000 secara keseluruhan itu yang bakal menyaksikan perlumbaan tahun ini dilengkapi teknologi perlumbaan basikal yang canggih.

“MSN telah memuktamadkan perjanjian bersama-sama dengan tiga penaja ini dan akan terus berusaha memuktamadkan beberapa penajaan lagi di mana pengumuman tentangnya akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Apa yang penting, MSN amat menghargai dan merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian ketiga-tiga rakan penaja yang sama-sama akan memeriahkan perlumbaan tahun ini,” katanya dalam ucaptamanya.

Turut hadir pada majlis pengenalan penaja itu adalah Pengarah Eksekutif PACE, Teoh Chia Chun, Pengurus Kandungan Dan Operasi Sukan TikTok Malaysia, Darren Quek dan Pengarah Urusan Zhejiang Dahua Malaysia, Levi Wen.

Perlumbaan kali ini akan menampilkan PACE sebagai pembekal rasmi kesemua jersi pasukan termasuk empat jersi utama dengan TikTok akan menyiarkan perlumbaan secara langsung dan Dahua Technology akan membekalkan teknologi radio komunikasi dan juga kamera badan pada pelumba.

LTDL 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 30 September merangkumi lapan peringkat perlumbaan bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur membabitkan jarak sepanjang 1,227km dengan 22 pasukan disahkan mengambil bahagian.