SELEPAS menyarung jersi putih pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli enggan melepaskannya kepada pelumba lain apabila Peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, berlangsung pada Isnin.
Pada peringkat pertama yang berlangsung di Langkawi pada Ahad, Nur Aiman meraih empat mata dalam acara pecut, selepas melakukan kayuhan bertenaga untuk ditabalkan selaku pelumba terbaik Asia sekali gus menyarung jersi putih.
Pelumba berusia 25 tahun itu berkata, kemenangan itu memberi motivasi kepadanya untuk mempamerkan prestasi konsisten sepanjang jelajah.
“Saya gembira dapat peluang untuk pakai jersi putih. Saya serta rakan-rakan bekerjasama untuk mencari mata selain gelaran Raja Bukit dan secara keseluruhan sangat berpuas hati.
“Secara jujur, saya baru guna 70 peratus tenaga yang ada kerana mahu prestasi konsisten dapat dikekalkan pada peringkat seterusnya terutama di Cameron Highland nanti,” katanya.