BIARPUN tidak memegang status pakar pecut, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff masih mampu muncul pelumba terbaik negara pada perlumbaan Peringkat 4, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km).
Perlumbaan Peringkat 4 itu ternyata bukan “makanan” Raja Bukit perlumbaan edisi 2020 dan 2022 itu ketika pakar pecut mempamerkan dominasi, namun Aiman masih mampu menamatkan saingan di kedudukan ke-25.
Pelumba yang menyambut ulang tahun ke-27 semalam, mengakui permulaan perlumbaan amat menyukarkan, kerana ramai pelumba yang cuba melakukan pemecahan termasuk dirinya kerana mahu mengumpul mata di zon pendakian (GAP).
“Tengok situasi hari ini memang pelumba EF Education-EasyPost (Stefan De Bod) sangat agresif melihat kepada usahanya selepas tidak melakukan sebarang tugasan semalam. Mungkin dia mahu naikkan kedudukan keseluruhan mereka.
“Ia menyebabkan perlumbaan dari awal sampai ke penamat sangat laju. Bagaimanapun, mereka yang melakukan ‘breakaway’ berjaya ditangkap 600 meter menuju garisan penamat. Bagi peribadi, saya rasa sangat berpuas hati. Esok akan ada satu lagi peringkat pendakian, saya cuba untuk mencari kedudukan terbaik demi diri sendiri, pasukan dan juga negara,” katanya.
Ditanya mengenai penamat sebentar tadi, Aiman mengakui dia cuba mencari kedudukan terbaik namun tidak berjaya memperoleh kedudukan terbaik dan tidak tahu untuk mengekori siapa.
“Saya cuba ikut pelumba Tudor (Pro Cycling Team) namun ramai pelumba mengekori belakangnya, jadi saya tidak mahu ambil risiko takut terjatuh. Saya hanya berlumba di atas pengalaman sahaja,” katanya.
Sementara pelumba terbaik pasukan Malaysia, Muhsin Al Redha Misbah yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-74 berkata, cabaran Peringkat 4 bukan hanya datang menerusi laluan, malah keghairahan pasukan berstatus WorldTour mahu melepaskan geram dek prestasi hambar dari Taiping ke Cameron Highlands semalam.
“Laluan hari ini amat sukar. Semalam (Peringkat 3) kita dapat lihat perseteruan antara EF Education-EasyPost dengan Astana Qazaqstan, jadi pasukan WorldTour hentam betul-betul.
“Perancangan jurulatih untuk kami melakukan pemecahan sebelum pendakian, tidak menjadi kerana WorldTour amat menyukarkan,” kata Muhsin.