PELUMBA Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn muncul pemenang Peringkat 4, Le Tour de Langkawi 2024, selepas muncul yang pertama menamatkan perlumbaan di Bentong, Pahang.
Selepas bergelut di ‘Queen Stage’ di Cameron Highlands semalam, perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) yang menyaksikan pasukan berstatus WorldTour bagaikan mengamuk, mengasak sejak dari awal perlumbaan.
Kemenangan itu bagaimanapun, belum cukup untuk Arvid merampas jersi hijau pendahulu keseluruhan daripada Max Poole (dsm-Firmenich PostNL).
Pelumba yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu melintasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam 53 minit 37 saat (s), mengetepikan juara peringkat kedua, Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO.
Tempat ketiga pula diisi oleh pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver dalam penamat beramai-ramai ketika cuaca mendung.
“Agak sukar hari ini buat pelumba pecut kerana ada pendakian (KOM 1 GAP) namun semua pelumba (kumpulan pengejar) melakukan tugas dengan baik menangkap kumpulan breakaway yang agak jauh dan saya hanya fokus melakukan pecutan.
“Ia adalah kemenangan yang baik buat saya selepas dua peringkat awal sebelum ini melakukan kesilapan. Ia satu pembelajaran berguna terutama dalam pecutan laju. Banyak lagi perlu saya buru dan bersedia untuk melakukannya selepas ini,” katanya yang merangkul kemenangan ke-10 bersama Tudor.
Pelumba berusia 30 tahun itu berkata, mereka berusaha keras untuk mengejar enam pelumba yang melakukan ‘breakaway‘ dan akhirnya berjaya melakukannya 300 meter menuju ke garisan penamat.
Jersi hijau kekal menjadi milik pelumba dsm-firmenich PostNL, Max Poole (12:57:35s) selepas menawan Cameron Highlands semalam, diikuti Thomas Pesenti dari JCL UKYO.
Walaupun hanya berpuas hati di tempat kedua hari ini, Malucelli masih mempertahankan jersi jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 34 mata, diikuti De Kleijn (30 mata) dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (26 mata).
Sementara itu, pelumba Burgos – BH, Mario Aparicio yang menawan zon pendakian kategori 1 di GAP, berjaya merampas jersi polka dot daripada Poole selepas mengumpul 20 mata.
Pelumba JCL UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) dengan masa keseluruhan 12:59:44s, meninggalkan rakan sepasukan, Yuma Koishi (2:41s) dan ketiga diisi pelumba Aisan Racing Team, Keigo Kusaba (2:45s).
Perlumbaan peringkat kelima akan berlangsung dari ibu negara, Kuala Lumpur ke Melaka dengan jarak perlumbaan sejauh 167.3km.