GLEB Syritsa dari pasukan Astana Qazaqstan, memberi petanda bakal mencabar kejuaraan keseluruhan (jersi GC) perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, apabila menjuarai peringkat pertama mengelilingi Pulau Langkawi sejauh 96.5 kilometer (km).
Syritsa yang pertama melintasi garisan penamat dalam penamat beramai-ramai dengan catatan masa dua jam empat minit 37 saat (s) mengatasi pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Casper Van Uden di tempat kedua.
Ia adalah kemenangan kali keempat buat pelumba Rusia itu selepas memenangi peringkat pertama 2022, peringkat kedua dan kelapan tahun lalu.
Sementara itu, pelumba VF Group – Bardiani CSF – Faizane, Lorenzo Conforti menjadi pelumba ketiga melintasi garisan penamat.
Kemenangan Syritsa membolehkannya memakai jersi hijau (pendahulu keseluruhan), manakala kedudukan ketiga carta berkenaan diisi oleh Xavier Canellas selepas dibantu oleh kemenangan di dua zon pecutan di Harbour Park dan Bayas.
“Ia adalah perlumbaan yang baik buat pasukan saya. Hari ini mereka melakukan kerja dengan baik sekali terutama sekali di hujung perlumbaan.
“Menuju garisan penamat ia tidak terlalu bahaya kerana ada rakan sepasukan yang melindungi saya. Sudah tentu saya sangat gembira, saya rasa boleh memenangi lagi perlumbaan di peringkat lain.
“Kami mengikut taktik yang dirancang, hanya menunggu masa sesuai untuk melakukan henjutan terakhir. Kelajuan mencecah hingga 60 kilometer per jam (km/j),” katanya, yang turut mengakui mengutip pengalaman berharga ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris Ogos lalu.
Syritsa juga meraih jersi jingga selaku Raja Pecut apabila mengumpul 17 mata, diikuti Van Uden 12 mata, manakala Conforti meraih sembilan mata.
Jersi polka dot pula diraih pelumba Ara Skip Capital, Tyler Tomkinson selepas menawan satu-satunya zon pendakian di Look Out Point dan mengumpul dua mata, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Aiman Rosli di tempat kedua dengan satu mata.
Bagaimanapun, Aiman berjaya memenangi jersi putih selaku pelumba terbaik Asia, selepas menduduki tempat kedua di dua zon pecutan dan zon pendakian.
Perlumbaan peringkat kedua esok akan berlangsung dari Arau ke Butterworth yang merangkumi jarak 154.5 km.