SIKAP proaktif kerajaan Sarawak dalam penganjuran acara sukan di negeri itu, mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurutnya, kesungguhan Sarawak menunjukkan bahawa kerajaan negeri menyedari impak kepada industri pelancongan dan ekonomi negeri, sekiranya terlibat secara langsung dalam acara sukan antarabangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh magu kerajaan negeri sama-sama menyokong penganjuran LTdL dengan menghulurkan penajaan.

Namun, Hannah mengakui kecewa apabila tiada kerajaan negeri yang mahu bersama-sama menaja Le Tour de Langkawi (LTdL), biarpun menyuarakan kesungguhan agar perlumbaan lebuhraya berprestij itu, melalui wilayah negeri masing-masing.

Majlis Sukan Negara (MSN) menyatakan bahawa mereka berjaya meraih penajaan tunai sebanyak RM8.1 juta untuk penganjuran tahun ini, namun tiada satu sen disumbangkan kerajaan negeri.

“Kebanyakan negeri mahu perlumbaan memasuki negeri mereka tetapi tidak mahu menyumbang wang, ini adalah cabaran yang kita hadapi.

“Ia berkait dengan kos, malah tahun lalu, saya perlu jelaskan kepada Parlimen mengapa perlumbaan tidak memasuki Langkawi (edisi 2023).

“Cabaran kita sebenarnya adalah dana… seperti sering kita katakan, ketua menteri / menteri besar perlu berikan perhatian kepada dana pembangunan sukan.

“Mereka perlu peruntukkan dana bukan hanya untuk mereka memenangi acara di Sukan Malaysia (Sukma), malah melabur untuk membawa masuk pelaburan di negeri masing-masing,” kata Hannah ditemui melepaskan pelumba LTdL2024, bagi Peringkat 8 di Bintulu.