PEMENANG dua pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, mahu buktikan betapa pelumba tempatan mampu mencapai prestasi setaraf pelumba pasukan profesional dunia ketika membuat debut pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Anak jati Kemaman, Terengganu itu, membawa nama negara bersama pasukan berstatus benua, Hengxiang Cycling yang berpangkalan di Shandong, China, mahu mengambil peluang untuk memahat namanya ketika kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.
“Saya mahu buktikan sesuatu di pentas kejuaraan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa seperti LTdL ini dalam usaha merealisasikan impian untuk pergi lebih jauh.
“Sudah tentu setiap pelumba tempatan mahupun dari luar negara, memasang impian untuk berlumba di Le Tour de France atau Olimpik, itu matlamat utama sebagai pelumba profesional,” kata Iqbal, ketika ditemui.
Dia ternyata bersyukur mendapat pelawaan Henxiang Cycling dan meneruskan rentak kejayaan selepas Sukma Sarawak.
Pelumba berusia 20 tahun itu berkata, dia amat berterima kasih kepada ketua jurulatih berbasikal lebuhraya Terengganu, Syed Mohd Husaini dan Anuar Manan yang membuka pintu untuk dia menyertai Hengxiang Cycling.
Pada Sukma Sarawak, pelumba muda itu meraih emas dalam acara lepas beramai-ramai (perseorangan) dan lepas beramai-ramai pasukan selain muncul pemenang perak saingan kriterium.
Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Zulhelmi Zainal yang mewakili Nusantara Pro Cycling Team dari Indonesia, mahu mencabar dirinya sekali lagi untuk memenangi jersi Putih, sebagai pelumba terbaik Asia.
“Pada tahun ini, saya mahu cuba dapatkan gelaran pelumba terbaik Asia di mana-mana peringkat,” katanya.
Pelumba 24 tahun itu berkata, dia beroleh keyakinan berikutan keserasian yang dicapai dalam pasukannya menjelang perlumbaan Peringkat 1 LTdL 2024, pada Ahad.
Untuk rekod, pada edisi tahun lalu, Zulhelmi memenangi jersi Putih pada perlumbaan Perinigkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya.