MUNCUL pelumba negara yang menamatkan Peringkat 1 perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 di kedudukan terbaik, tidak cukup memuaskan hati pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil, apabila gagal menaiki podium.
Pelumba berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan Peringkat 1 sejauh 96.5 kilometer (km) di Pulau Langkawi, di tempat ketujuh untuk muncul selaku terbaik Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik.
Kekecewaannya timbul berikutan masih gagal menaiki podium untuk setidak-tidaknya menaiki podium di salah satu peringkat, sejak kali pertama beraksi di LTdL pada 2015.
Bagaimanapun, Izzat berkata, dia merumuskan perlumbaan Peringkat 1, sebagai positif dalam masa sama mahu melakukan yang lebih baik pada Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, esok.
“Perlumbaan hari ini agak basah, hujan dan permukaan licin. Rakan sepasukan banyak membantu di awal saingan. Kedudukan saya agak ketinggalan di belakang pada 1km terakhir tetapi saya cuba mengejar kelompok depan dengan menggunakan tenaga yang banyak.
“Saya terus mencuba dan pada 500 meter (m) terakhir itu, berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik. Jadi saya cuba memecut sebaik mungkin dan dapat penamat ini,” katanya.
“Secara keseluruhannya, saya boleh katakan berpuashati jugalah. Sebenarnya sasaran saya nak berada di podium tapi di Peringkat 1 ini, tidak kesampaian.”
Esok saingan LTdL 2024 beralih ke perlumbaan Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani yang pasti akan digunakan sebaiknya pakar pecut termasuk Izzat sendiri.