SELEPAS merasai pengalaman memakai jersi putih pada satu peringkat tahun lalu, Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG), nekad memberi impak pada klasifikasi pelumba Asia di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan bermula Ahad ini.

Aiman, 25, yang sebelum ini mewakili pasukan kebangsaan Malaysia berkata, dia akan berusaha keras untuk mendahului dan mengekalkan jersi putih, sepanjang jelajah lapan peringkat UCI ProSeries itu.

“Matlamat utama saya adalah memenangi jersi putih. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya,” ujar Aiman yang baru tiba di Langkawi, hari ini.

Nur Aiman Rosli, dengan semangat membara mahu memburu jersi putih.

Bagi mencapai hasratnya itu, Aiman mengatur strategi menjimatkan tenaga pada peringkat ketiga hingga kelima membabitkan pendakian, yang dijangka akan menjadi penentu perlumbaan.

“Peringkat ketiga ke Cameron Highlands akan mencabar, walaupun tidak sekeras Genting Highlands. Kita harus bersaing dengan pasukan WorldTeams yang pasti akan memaksa kelajuan,” ujarnya.

Aiman menjangkakan saingan sengit dari pelumba JCL Team Ukyo dari Jepun dan Vadmin Pronskiy dari Astana Qazaqstan, yang merupakan pendaki berbakat.

Tiga tonggak tempatan, Nur Aiman Mohd Zarif (kiri), Harrif Saleh (tengah) dan Nur Aiman Rosli (kiri) mewakili TSG.

Peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands (170.3 kilometer) dan peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong (131.2 km) akan menyajikan cabaran pendakian yang mencabar, berpotensi menentukan pemenang keseluruhan.

Beliau juga mengharapkan untuk menonjol pada peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka (167.3 km) yang mempunyai tiga pendakian, kategori 2 di Bukit Ampang dan Bukit Hantu manakala kateogri 3 di Bukit Mantin.

Pelumba mengambil peluang menjalani kayuhan santai sebelum bermulanya saingan LTdL 2024 Ahad ini.

Musim ini, Aiman menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih kemenangan di Jelajah Thailand dan tempat kedua dalam klasifikasi pergunungan di Jelajah Istanbul.

Walaupun tidak naik podium di Kejohanan Asia, beliau tetap optimis untuk menamatkan musim dengan kejayaan.

“Saya berhasrat untuk mengakhiri musim ini dengan positif, dan LTdL adalah peluang yang baik untuk mencapainya,” kata Aiman, yang sebelum ini bernaung di Team Sapura Cycling dari 2020 hingga 2023.