HILANGKAN rasa takut, kosongkan fikiran dan fokus pada perlumbaan untuk memenangi podium.

Demikian nasihat bekas pelumba berbasikal lebuhraya berpengalaman negara, Anuar Manan kepada pelumba Malaysia yang bersaing pada Le Tour de Langkawi 2024.

Menurutnya, setiap pelumba hendaklah berani untuk melakukan pecutan kerana saingan kali ini lebih sukar dan dijangka berlangsung laju.

Anuar Manan yakin pelumba pecut Malaysia mampu melakar kejutan pada Le Tour de Langkawi 2024.

“Masuk sahaja zon pecut, perlu berani terutamanya 500 meter (m) terakhir itu.

“Kita nak berdepan lawan yang saiz fizikalnya lebih besar, perlu menyasarkan untuk menang dan berani masuk melakukan pecutan akhir,” kata Anuar, ditemui ketika menyertai FAM Trip Media LTdL ke Langkawi SkyCab.

Katanya, perlumbaan LTdL 2024 menjadi tumpuan buat pakar pecut pasukan yang bertanding kerana kebanyakan laluan kali ini landai, di Cameron Highland pula tidaklah sukar.

“Sudah tentu peluang juga terbuka buat pakar pecut negara, Harrif Saleh (TSG), Izzat Hilmi Abdul Halil (MPC) sudah cukup sinonim dengan LTdL, dia tahu dan Elmi Jumari (Malaysia).

Harrif Saleh kekal bersama TSG di Lebuhraya.

“Harrif sendiri cukup kenal dengan perlumbaan ini dan pernah memenangi peringkat perlumbaan dalam LTdL.

“Tiada yang mustahil untuk dia menaiki podium, manakala Izzzat yang baru 3 atau 4 kali berlumba di sini, sudah memiliki banyak pengalaman di luar negara dan tidak mustahil mampu melakar kejutan.”

Untuk rekod, Harrif yang mewakili TSG Terengganu Cycling Team pernah memenangi dua peringkat perlumbaan iaitu di peringkat kedua edisi 2020 dan peringkat pertama 2019.

Izzat Hilmi Abdul Halil antara pelumba tempatan yang bakal mencipta kejutan.

Sementara Izzat yang beraksi bersama Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Izzat dari pasukan kebangsaan Malaysia, dijangka antara pencabar podium edisi kali ini.

Anuar Manan muncul pelumba negara pertama memenangi peringkat perlumbaan LTdL  pada 2010 dan pernah muncul Raja Pecut tahun berkenaan.

Antara pencabar utama perlumbaan kali ini tentunya pakar pecut dari Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa; Arvid de Kleijn (Tudor Cycling Pro); dan Jakub Mareczko (Corratec-Vini Fatini’s) yang pernah memenangi kejayaan di LTdL sebelum ini.

Perlumbaan peringkat pertama, mengelilingi Pulau Langkawi, peringkat kedua (Arau ke Butterworth), kelima (Kuala Lumpur ke Melaka), keenam (Batu Pahat ke Kulai) dan kelapan (Bintulu loop), menjadi pusingan perlumbaan membabitkan pecutan.