“DATUK saya sepatutnya ada di sini, di garisan penamat melihat saya, tetapi tiga hari sebelum perlumbaan, dia meninggal dunia.”
Muhammad Syawal Mazlin, yang muncul pelumba terbaik negara pada Peringkat 3, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, dari Taiping ke Cameron Highlands, tidak mampu berselindung mengenangkan datuknya itu, yang sentiasa menyokongnya biarpun penampilan pertama di LTdL, tahun ini.
Katanya, ahli keluarganya menanti di garisan penamat dan pelumba berusia 20 tahun itu gembira, apabila berjaya mengotakan janji untuk menampilkan prestasi terbaik pada penampilan di kampung halamannya ini.
“Allah lebih sayangkannya… tetapi saya membawa semangat datuk bersama dalam perlumbaan ini,” ujar Syawal lagi.
Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) itu menamatkan perlumbaan sejauh 170.3 kilometer (km) di tempat ke-44 daripada 127 pelumba yang memulakan saingan peringkat Queen Stage, sekali gus melonjakkan kedudukan keseluruhan ke tempat ke-46 dengan masa 10 jam, 8 minit 52 saat.
Kegigihannya itu menyerlahkan potensi yang ada apabila berjaya mengekori pelumba dari WorldTeam sehingga ke 30km terakhir, sebelum akur dengan kepakaran dan kudrat pakar pendakian Eropah dan Amerika Selatan.
“Ketika berbaki beberapa kilometer menuju garisan penamat, mereka (pelumba WorldTeam) mula berada pada tahap berbeza.
“Saya belum sampai ke situ tetapi saya mengenali dengan baik selekoh di sini,” tambah pelumba yang mendudukan tempat kedua keseluruhan kategori remaja, Tour Thailand.