TERENGGANU Cycling Team (TSG) enggan sekadar menjadi pelengkap pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, apabila menyasarkan untuk merebut berada dalam kelompok 10terbaik keseluruhan (GC).
Pasukan berstatus benua itu juga memiliki senjata yang mampu mencabar wakil berstatus WorldTeam dan ProTeam.
Pengarah Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz berkata, mereka mempertaruhkan pelumba berpengalaman dari Ukraine, Anatoliy Budyak.
“Memang kalau kita lihat daripada senarai pelumba ramai dan hebat pada perlumbaan kali ini, kita boleh mengharapkan Budyak untuk mencabar mereka,” katanya, yang juga bekas pelumba kebangsaan.
Tambah beliau, antara pelumba luar yang mencuri perhatiannya untuk memenangi GC pada edisi ke-28 ini ialah Harold Martin Lopez dari Astana Qazaqstan Team dan beberapa lagi nama besar bersama dua lagi pasukan bertaraf WorldTeam, EF Education – EasyPost dan Team dsm-firmenich PostNL.
Martin Lopez, 24, dari Ecuador menduduki tempat ke-10 bagi perebutan jersi GC tahun lalu.
Selain mensasarkan untuk menduduki kelompok 10 terbaik GC, Saiful Anuar juga mengakui, jika mampu membawa pulang jersi putih (Terbaik Asia) dan juga polka dot (Raja Bukit), ianya bakal menjadi satu bonus buat mereka.
“Jersi putih kami mengharapkan ia dapat diraih Nur Aiman Rosli, manakala jersi polka dot dapat direbut Nur Aiman Zariff. Bagi kemenangan di podium pula kami mengharapkan sentuhan Harrif Saleh.
“Kita harap dapat sesuatu kejutan daripada Harrif dan akan memantau kondisinya dari hari ke hari. Ada lima peringkat yang boleh dikuasai pakar pecut sepertinya dalam saingan tahun ini,” katanya.
Menurut Saiful Anuar, berdasarkan pemerhatiannya beliau yakin Harrif boleh muncul juara peringkat namun perlu melihat juga pada prestasi anak buahnya itu di hari perlumbaan.
Tahun lalu pelumba terbaik TSG bagi saingan GC ialah Jambaljamts Sainbayar yang menduduki tempat ke-16.
Sainbayar juga menduduki tempat kedua jersi putih di belakang pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy.
Dia juga adalah pelumba terbaik untuk TSG bagi saingan Raja Bukit apabila menduduki tempat ke-13.