EKSKLUSIF

“SAYA teruja dan sudah bersedia untuk datang ke Malaysia.”

Demikian luahan awal Soleen Al-Zou’bi yang dilantik sebagai Ketua Jurulatih Bolasepak Wanita Malaysia.

Menurut Soleen, kehadirannya ke Malaysia sudah tentu ada misi tersendiri, namun apa yang penting adalah sokongan penuh daripada semua pihak terutamanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Saya bersedia menyahut cabaran, ‘work hard’  dan akan datang ke Malaysia awal Disember ini. Cuma apa yang saya harapkan adalah sokongan penuh semua pihak dalam memperkemaskan bola sepak wanita Malaysia.

“Sudah tentu saya juga ada buat research mengenai pasukan kebangsaan dan sebagainya. Selebihnya saya memang tahu budaya sukan bola sepak Asia.

“Terima kasih kepada Presiden FAM yang memberi kepercayaan untuk tugas ini,” jelasnya kepada FLASH SUKAN.

Bagi peminat bola sepak wanita dunia, nama Soleen bukanlah baharu memandangkan lebih sedekad dia beraksi untuk kelab di Jordan dan juga di peringkat antarabangsa bagi pasukan negaranya.

Untuk rekod terkini, Soleen juga merupakan Jawatankuasa Bola Sepak Wanita AFC sejak tahun 2019, dan pernah berkhidmat bersama Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), juga di bahagian Teknikal Bola Sepak Wanita.

Kehadiran pemilik lesen kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ini sudah tentu ditunggu-tunggu peminat bola sepak tanah air yang sekian lama mahu melihat skuad wanita serta program pembangunan selari dengan pasukan lelaki.

Antara pencapaian terbaik Soleen adalah membawa skuad Jordan Bawah 17 tahun (B-17) layak ke Piala Dunia Wanita B-17 pada tahun 2016.

Dalam pada itu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu perubahan yang dilakukan ini adalah satu langkah besar untuk melihat pasukan wanita negara lebih meningkat selepas ini.

“Memang sudah lama kita berhajat ingin martabatkan bola sepak wanita. Dan tahun ini FAM bersetuju untuk melantik jurulatih baharu, yang berpengalaman menguruskan skuad wanita di peringkat antarabangsa.

“Malah ini juga membuktikan FAM tidak memandang ringan dengan bola sepak wanita. Saya ingin melihat pasukan wanita juga mencipta kejayaan. Sokongan daripada penyokong-penyokong bola sepak juga sangat membantu buat skuad wanita kita,” kata Hamidin Kepada FLASH SUKAN.

Soleen akan menggantikan posisi jurulatih Jacob Joseph yang dipegang sejak 2018.

Sumber Foto: UN Women Arabic/ AFC