LIGA Sepak Takraw (STL) musim baharu 22/23 minggu kedua yang berlangsung di Pulau Pinang hujung minggu lalu amat luar biasa dengan kehadiran hampir tujuh ribu penyokong Penang Black Panthers membanjiri Stadium Tertutup, Spice Arena.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, gelanggang di Pulau Pinang sentiasa menjadi gelanggang keramat setiap kali STL diadakan disana.

“Ini adalah tahun ke tiga STL diadakan di Pulau Mutiara ini sejak 2019 lalu dan kehadiran penyokong tidak pernah mengecewakan, ini menunjukkan sukan sepak takraw tidak penah hilang gah dan kemasyurannya dari negeri pelopor sukan tradisi ini.

“Bilangan penonton di stadium musim ini juga menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tahun lalu.

“Saya amat mengharapkan penglibatan kerajaan negeri mahupun persatuan negeri serta badanbadan korporat lain bersama-sama berganding bahu dalam memartabatkan lagi sukan tradisi ini dengan merancakkan lagi kemeriahan STL seperti di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, aksi minggu ketiga akan diteruskan di Dewan Majlis Bandaraya (MBS), Seremban bermula Jumaat ini.

Saingan selama lapan  minggu STL Premier ini akan berakhir pada 23 Julai 2023 nanti.