LUIS Enrique telah meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Sepanyol susulan tersingkirnya pasukan itu pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA Qatar 2022.

La Roja memulakan kejohanan dengan bergaya apabila membelasah Costa Rica 7-0 sebelum seri 1-1 dengan Jerman dan masih berjaya layak ke peringkat kalah mati meskipun tewas 1-2 kepada Jepun pada perlawanan terakhir kumpulan.

Sepanyol bertemu Maghribi pada pusingan 16 terbaik dengan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 120 minit sebelum pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti yang dimenangi Maghribi.

 

Kontrak Enrique bersama Sepanyol hanya akan berakhir pada hujung Disember namun pengendali berusia 52 tahun itu sudah pun mengesahkan dia sudah pun meninggalkan jawatannya bersama juara dunia 2010 itu.

Enrique mengepalai Sepanyol sebanyak dua kali dengan rekod 47 perlawanan memenangi 26 kali, seri 14 kali dan hanya tewas tujuh kali dan kini dijangka akan kembali untuk menguruskan kelab.

Sejak muncul juara dunia pada 2010, Sepanyol gagal menyerlah di kejohanan seterusnya apabila tidak melepasi peringkat kumpulan pada 2014 sebelum terkandas di peringkat 16 terbaik pada 2018 dan 2022.