BINTANG bola sepak Uruguay, Luis Suarez, mengumumkan akan bermain perlawanan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan Uruguay minggu ini.
Dalam sidang media penuh emosi yang berlangsung pada Isnin, Suarez, mengesahkan akan mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak antarabangsa selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Jumaat menentang Paraguay.
Penyerang veteran berusia 37 tahun itu, yang pernah bermain untuk Liverpool dan Barcelona, menyatakan sedia bermain dengan semangat yang sama seperti perlawanan pertamanya bersama skuad kebangsaan pada tahun 2007.
“Saya meninggalkan skuad kebangsaan dengan tenang, kerana saya memberikan jiwa dan segalanya sehinggalah hari Jumaat ini. Saya tidak menyesal.
“Tidak ada kebanggaan yang lebih besar selain mengetahui bila waktu yang tepat untuk bersara, dan saya bersyukur kerana saya yakin ini adalah masa yang tepat untuk saya melangkah ke sisi,” kata Suarez.
Con la misma alegría, los mismos nervios y las mismas ganas del primer día preparando el partido del viernes, el último 👊🏼
Gracias a todos por los mensajes y las muestras de cariño, de corazón 🩵 pic.twitter.com/SwyZpu1bHB
— Luis Suárez (@LuisSuarez9) September 3, 2024
Suarez turut menyatakan gembira kerana dapat bersara mengikut keinginannya sendiri, dan bukan kerana kecederaan.
“Dengan usia 37 tahun dan saya sedar bahawa amat sukar untuk bermain di Piala Dunia edisi seterusnya.
“Ia membuatkan hati saya senang apabila saya boleh bersara dengan sempurna dan bukannya kerana kecederaan atau kerana tidak lagi dipanggil menyertai pasukan kebangsaan,
“Keputusan ini memang sukar, tetapi saya yakin ini adalah masa yang tepat,” ujar pemain veteran itu.
Sepanjang karier antarabangsa yang cemerlang, Suarez telah bermain dalam empat edisi Piala Dunia dan membantu Uruguay menjuarai Copa America pada tahun 2011, di mana beliau dinamakan sebagai pemain terbaik kejohanan tersebut.
Tahun ini, di bawah kendalian Marcelo Bielsa, Uruguay berjaya meraih tempat ketiga dalam Copa America.
Suarez juga berkongsi impiannya untuk anak-anaknya menyaksikan beliau meraih kejayaan bersama pasukan kebangsaan.
Walaupun tidak memenangi sebarang trofi besar dalam penampilan terakhirnya, Suarez tetap berpuas hati dengan pencapaian tersebut.
“Impian saya adalah agar anak-anak saya dapat melihat saya memenangi sesuatu yang penting bersama pasukan kebangsaan.
“Gol terakhir itu sangat berharga, walaupun ia bukannya trofi untuk dibawa pulang, namun ia sangat bermakna buat mereka,” katanya.
One of Luis Suárez's most iconic moments.
Took a red card for his country 💯🇺🇾 pic.twitter.com/6IPhzkpL1w
— ESPN FC (@ESPNFC) September 3, 2024
Penyerang berbakat ini telah menjaringkan 69 gol dalam 142 penampilan bersama Uruguay sepanjang 17 tahun kariernya, menjadikannya penjaring terbanyak dalam sejarah negara itu.
Suarez memulakan debut seniornya bersama Uruguay pada 8 Februari 2007 dalam kemenangan 3-1 ke atas Colombia, tetapi diusir keluar pada minit ke-85 selepas menerima kad kuning kedua.
Suarez turut mengesahkan bahawa beliau akan terus bermain untuk kelab MLS, Inter Miami, di mana beliau akan bergandingan bersama bekas rakan sepasukan di Barcelona, Lionel Messi.
Suarez menyatakan bahawa Inter Miami akan menjadi kelab terakhirnya selepas beliau menyertai pasukan tersebut tahun lalu.
Dengan keputusan ini, Luis Suarez menamatkan karier antarabangsa yang cemerlang dengan penuh kebanggaan dan kenangan manis, meninggalkan legasi besar dalam bola sepak dunia.