BEKAS juara dunia keirin 2017, Datuk Azizulhasni Awang membayangkan dirinya ‘lunyai’ ketika terpaksa bersaing dalam acara pecut dan keirin dalam hari yang sama, pada Kejohanan Kelas Satu Piala Trek Antarabangsa Hong Kong pada Jumaat.
Begitupun, pemegang jolokan The Pocket Rocketman itu meluahkan rasa gembira di laman Facebooknya, kerana berjaya merangkul kejuaraan dalam kedua-dua acara itu.
“Alhamdulillah syukur kerana memenangi dua pingat emas untuk acara pecut dan keirin lelaki.
“Berada di Veledrom Hong Kong seawall 7.30 pagi hingga perlumbaan terakhir yang tamat pada jam 8.30 malam… tempoh 13 jam berlumba berturut-turut untuk kedua-dua acara.
“Memang lunyai akan tetapi sangat gembira dan puas hati dengan hasil tangkapan,” kata Azizul.
Veledrom Hong Kong nampaknya membawa tuah buat Azizulhasni yang memenangi gelaran juara dunia keirin di tempat sama pada 2017.
Dalam acara pecut, Azizulhasni menewaskan Kang Shih Feng dari Taiwan untuk memenangi pingat emas, manakala gangsa dimenangi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Dalam acara keirin pula, jaguh berbasikal trek negara itu sekali lagi mengatasi Shih Feng yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua, manakala Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Turut cemerlang, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang menang pingat emas pecut, selepas menewaskan Park Jihae dari Korea Selatan.
Nurul Izzah Izzati turut meraih perak dalam acara keirin, sementara Amber Yong meraih pingat emas keririn remaja wanita.