PENYERANG PJ City FC, Darren Lok sudah menggambarkan kemenangan berpihak kepada skuad bola sepak kebangsaan setelah pasukan negara berjaya mendahului 1-0 bertemu Bahrain pada Sabtu malam.
Jelasnya, dia mengakui kesilapan mudah antara faktor pasukan negara tumbang kepada negara berkedudukan ranking ke-89 dunia itu dalam aksi hebat kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Buki Jalil.
Darren menganggap para pemain perlu segera lupakan episod duka menentang Bahrain dan fokus kepada perlawanan terakhir bertemu Bangladesh pada 14 Jun.
Ia disebabkan Malaysia masih berpeluang untuk layak tetapi perlukan kemenangan dengan jaringan yang besar kerana pada ketika ini pasukan senior kebangsaan masih berada pada kedudukan layak ke Piala Asia 2023.
“Ya, kita bermain dengan baik namun kita tewas kerana beberapa kesilapan. Namun itu bukan penghalang untuk terus bangkit dalam perlawanan mendatang kerana semua pemain mahukan kemenangan.
“Saya akan berikan sepenuhnya ketika di atas padang dan ikut segala arahan serta taktikal jurulatih kerana kita masih berpeluang untuk layak ke Piala Asia, ” ujar Darren.
Sementara itu, dia tidak menyimpan marah kepada Pan-gon kerana menukarkannya pada babak kedua kerana percaya setiap jurulatih pastinya mempunyai taktikal dan visi masing-masing yang mungkin tidak dapat dilihat melalui mata kasar pemain.
“Untuk saya adalah menjadi kebiasaan pada babak kedua ada banyak pertukaran pemain. Jurulatih mahukan tenaga baharu dan fresh leg untuk mengukuhkan lagi pasukan. Saya tak rasa tindakan itu silap kerana kita harus percaya kepada kebolehan pemain-pemain lain,” katanya.
Misi menang besar diperlukan skuad kebangsaan dalam perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia Peringkat kumpulan E menentang Bangladesh pada 14 Jun sekiranya masih menanam hasrat bermain di Piala Asia 2023.