PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak mahu kisah di Hanoi terus membayangi pemain-pemain skuad B-23 sebaliknya kembali bersedia dengan misi sebenar dalam saingan Piala Asia B-23 2022 di Tashkent, Uzbekistan bermula 1 Jun 2022 hingga 19 Jun 2022.
Beliau yang mengadakan pertemuan dengan anak buah jurulatih Brad Maloney itu hari ini turut menyuarakan keyakinan bahawa skuad muda negara mampu melakar keputusan baik andai mereka kekal fokus dan mempamerkan kesungguhan tinggi dalam perlawanan.
“Saingan Piala Asia B-23 2022 adalah misi sebenar skuad muda negara ini selepas menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi. Jangan cepat berpuas hati, pemain-pemain kena berikan aksi lebih baik. Mereka perlu kekal fokus dan tidak perlu tertekan kerana kita sedar kejohanan pentas Asia ini lebih mencabar.
“Berdepan juara bertahan Republik Korea dan dua pasukan musuh serantau Thailand dan Vietnam dalam saingan Kumpulan C bukan mudah namun itu tidak bermakna kita tidak ada peluang.
“Jadi terpulang kepada pemain-pemain untuk menyahut cabaran ini. Saya berharap mereka akan berjuang habis-habisan hingga titisan keringat yang terakhir,” katanya dalam amanat yang disampaikan dalam pertemuan itu.
Skuad Harimau Malaya B-23 akan berlepas ke Tashkent pada Ahad (29 Mei 2022) sebelum memulakan kempen Kumpulan C berdepan Republik Korea pada 2 Jun 2022, Thailand 5 Jun 2022 dan Vietnam 8 Jun 2022.