PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menganggap bahawa kelebihan bermain di Liga 3 Jepun bukan satu jalan pintas untuknya merebut kesebelasan utama skuad Bawah 23 (B-23) dengan mudah.

Pemain berusia 22 tahun yang baru sahaja melaporkan diri ke kem latihan pusat kendalian Juan Torres Garrido itu melihat usaha yang tinggi telah dipamerkan oleh para pemain untuk merebut posisi masing-masing menjelang saingan Piala Asia B-23 Qatar yang akan berlangsung pada April depan.

“Tidak mudah untuk saya merebut kedudukan di kesebelasan utama kerana pemain semua telah berikan prestasi yang terbaik.

“Jadi, bagi saya ia bukan jalan yang senang untuk saya, tetapi sebagai seorang pemain saya akan cuba ambil semula tempat saya,” ujarnya dalam sesi temu bual di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Luqman Hakim jelas ingin mempamerkan bakatnya dalam skuad B-23.

Dalam perkembangan sama, Luqman berkongsi pandangannya bahawa prestasi skuad Harimau Muda kini semakin berada dalam landasan yang baik.

Salah satu faktornya adalah, pemain-pemain sudah kerap disajikan dengan latihan dan aksi persahabatan yang dilihat semakin mematangkan mereka dalam perlawanan.

“Kita akan bergerak secara bertahap di bawah Juan Torres. Saya lihat prestasi pasukan ini semuanya okay dan saya juga yakin dengan pasukan ini.

“Pemain dalam pasukan juga sudah meningkat. Mereka kini berada dalam fasa dewasa dan masing-masing sudah tahu apa yang mahu dilakukan,” tambahnya.