PEMAIN muda negara, Luqman Hakim Shamsudin akui bahawa dirinya gembira apabila menerima panggilan untuk bersama dengan skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam mendepani cabaran di Piala Asia B-23 Qatar, April depan.

Perkara ini telah dinyatakan menerusi satu kiriman di Instagram rasmi YSCC Yokohama, kelab dari Jepun yang diwakili Luqman sendiri.

Dalam masa yang sama, pemain berusia 22 tahun itu turut memberitahu bahawa dirinya mempunyai matlamat yang sama, seiring dengan sasaran skuad B-23 dalam merebut slot ke temasya sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya sangat gembira dengan panggilan dari Malaysia (skuad B-23) ini. Saya sama sekali tidak sabar untuk memulakan kejohanan Piala Asia di Qatar nanti.

 

“Semestinya saya akan menampilkan prestasi terbaik dan membantu untuk mencapai sesuatu bersama pasukan Malaysia. Sasaran kami memang untuk menang dan layak ke Olimpik.

“Saya turut berterima kasih kepada YSCC kerana sentiasa menyokong perjalanan saya. Saya amat menghargainya,” menurut kenyataan Luqman di Instagram rasmi YSCC Yokohama.

Luqman yang bakal menjalani latihan rasmi pada Ahad ini menjelang kempen Piala Asia adalah salah seorang daripada 17 pemain yang dipanggil ke kem pusat latihan menjelang Piala Asia B-23 2024 di Qatar, bermula 15 April hingga 3 Mei 2024.

Malaysia telah diundi untuk berada dalam Kumpulan D bersama-sama dengan negara Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.