PENGHIJRAHAN Luqman Hakim Shamsudin ke kelab Iceland, Njardvik FC dianggap tetap satu perkembangan positif kerana pemain muda berkenaan masih kekal bermain di Eropah.
Pandangan ini disuarakan bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan keputusan itu juga adalah pencapaian buat dirinya.
“Selagi dia masih dalam benua Eropah, ia satu perkara yang terbaik. Untuk Luqman saya ucapkan selamat maju jaya, jangan putus asa. Kita tahu berapa tinggi mutu bola sepak di sana,” katanya.
Kenyataan sama diutarakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh yang menyifatkan apa yang dilakukan Luqman harus menjadi motivasi kepada pemain muda yang lain untuk menimba pengalaman di luar negara.
“Memang itu satu pencapaian juga sebab dari Belgium pergi ke Iceland, maknanya kualiti dia orang pandang juga.
“Kita kalau boleh nak lebih ramai pemain tempatan dan muda berhijrah supaya dapat pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Apabila balik ke negara sendiri, Insya-Allah dapat menaikkan lagi mutu bola sepak kita,” katanya.
Njardvik menerusi laman media sosial mereka secara rasmi mengumumkan Luqman menyertai kelab itu secara pinjaman dari Kortrijk selama semusim.
Luqman membuat penampilan sulung bersama Kortrijk pada 24 Oktober 2020 ketika bertemu Anderlecht selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Pemain kelahiran Kelantan itu beraksi bersama skuad senior Kortrijk musim ini pada perlawanan menentang KVC Westerlo pada Oktober lalu.